Zuraidi perjelas isu tular calon MB Kedah bersifat peribadi
2026-03-17 - 08:04
Ahli PKR Zuraidi Rahim yang diterima semula keanggotaannya pada Ogos lalu berkata fokusnya adalah untuk membangun dan memperkukuhkan parti menjelang PRU16. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ahli PKR Zuraidi Rahim tampil menjelaskan kenyataan berhubung video tular berhubung persoalan dirinya menjadi calon menteri besar Kedah daripada parti itu sambil mengatakan ia hanya bersifat peribadi. Pengerusi Persatuan Anak Muda Madani Kedah berkata demikian selepas namanya menjadi perbualan di media sosial susulan video yang memetiknya menyatakan kesediaan menggalas amanah sebagai calon menteri besar Kedah untuk bersaing dengan Sanusi Nor daripada PAS. “Semua itu (calon MB) hanya pandangan peribadi sahaja dan tak ada kena mengena pun dalam soal keputusan parti,” katanya kepada FMT. “Fokus saya ialah meneruskan kerja untuk membangun parti dan mencari kekuatan untuk kemenangan PRU16 serta membantu memperkukuhkan parti dan menyantuni masyarakat. “Segala perkara berkaitan kepimpinan dan calon adalah tertakluk kepada proses serta keputusan rasmi parti dan sewajarnya dihormati oleh semua pihak,” katanya kepada FMT. Terdahulu, tular video memetiknya menjawab persoalan berhubung calon menteri besar daripada PKR yang dikaitkan dengannya dan menyatakan kesediaan menggalas amanah itu. Ahli Majlis Pimpinan PKR Kedah, Nor Azrina Surip, yang kemudian mengulas perkara itu berkata parti tidak pernah membincangkan calon menteri besar termasuk mengangkat Zuraidi sebagai ‘poster boy’ pada PRN akan datang. Menurutnya, agak mustahil menamakan Zuraidi memandangkan beliau baru diterima semula keanggotaan Ogos tahun lalu dengan bersyarat dan tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam parti selama tiga tahun. Dalam pada itu, Zuraidi turut menafikan mengeluarkan poster yang memaparkan konon beliau sebagai calon menteri besar Kedah bagi PRU16 dengan sokongan penuh PKR Kedah. Beliau menggesa penyebaran poster itu segera dihentikan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat dan penyokong parti. “Hentikan fitnah dan spekulasi yang tidak bertanggungjawab,” katanya.