Zizie tegas tak pernah bincang hal kewangan dengan Bung
2026-03-05 - 11:23
Zizie Izette Abdul Samad beri keterangan membela diri berhubung tuduhan bersubahat dengan suaminya, Bung Moktar Radin, terima rasuah RM2.8 juta. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Zizie Izette Abdul Samad menolak cadangan pihak pendakwaan bahawa dia tidak bercakap benar apabila mendakwa tidak pernah membincangkan soal kewangan dengan suaminya, Bung Moktar Radin. Semasa pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How merujuk Zizie kepada pernyataan saksinya, yang mana dia menyatakan pasangan itu bersetuju sejak awal perkahwinan mereka pada 2010 untuk menguruskan urusan perniagaan dan pelaburan secara berasingan. Law: Jadi kamu tidak berbincang mengenai hal kewangan dengan suami? Zizie: Tidak. Law: Saya cadangkan, kamu berada di mahkamah ini hanya untuk mereka-reka cerita. Zizie: Saya tidak setuju. Bekas pelakon itu berkata, Bung tidak pernah bertanya berapa banyak wang dimilikinya atau di mana dia menyimpan wangnya. Zizie, 47, berkata pasangan itu malah tidak mempunyai akaun bank bersama dan menyimpan peti besi berasingan di rumah. Ketika memberi keterangan membela diri, Zizie berkata, dia melabur RM700,000 dalam dana amanah dan memperoleh pulangan kira-kira 10% dalam tempoh tiga bulan, yang mana tidak diketahui Bung. Bung, bekas Ahli Parlimen Kinabatangan dan ketua Umno Sabah, didakwa pada 2019 atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan bagi Felcra melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual. Bekas pengerusi bukan eksekutif Felcra Bhd itu dituduh menerima rasuah daripada ejen pelaburan Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie, di cawangan Public Bank Taman Melawati pada 12 dan 19 Jun 2015. Beliau juga didakwa memperoleh wang tunai RM337,500 secara rasuah daripada seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama Zizie, untuk tujuan yang sama. Pada September tahun lepas, Bung tampil memberi keterangan membela diri. Bagaimanapun, pada Januari, pihak pendakwaan menarik balik tuduhan terhadapnya berikutan kematiannya sebulan sebelum itu. Zizie dituduh mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 kerana bersubahat dengan Bung berhubung kesalahan yang didakwa tersebut. Menurutnya, dia memperkenalkan Norhaili dan Madhi kepada Bung antara lewat 2013 dan awal 2014 di sebuah hotel di Kuala Lumpur kerana, sebagai ahli politik, suaminya seseorang yang sering ingin ditemui ramai orang. Law: Kamu tahu dengan jelas kenapa sebenarnya Norhaili mahu bertemu Bung. Zizie: Saya tidak tahu. Law: Saya cadangkan, Norhaili mahu bertemu Bung untuk memujuknya agar Felcra menyertai skim unit amanah (Public Mutual Bhd). Zizie: Saya tidak setuju. Zizie juga tidak bersetuju dengan cadangan Law bahawa pertemuan Norhaili dengan Bung merupakan percubaan keduanya untuk mendapatkan pelaburan itu, selepas gagal memujuk pengerusi bukan eksekutif Felcra terdahulu, Tajuddin Abdul Rahman. Dia bagaimanapun bersetuju dengan Law bahawa Norhaili dan Madhi diberi RM5.6 juta oleh majikan mereka dan dia menerima 50% (atau RM2.8 juta) susulan pelaburan RM150 juta yang dibuat oleh Felcra. Zizie juga mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa RM2.8 juta itu diperoleh walaupun dia tidak mempunyai peranan dalam Felcra dan tidak memegang sebarang jawatan rasmi di agensi tersebut. Semasa disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Fadhly Zamry, Zizie menafikan bahawa RM2.8 juta itu wang rasuah yang diterimanya bagi pihak Bung. Peguam K Kumaraendran, yang dibantu oleh Teh See Koon, kemudiannya memberitahu hakim perbicaraan Rosli Ahmad bahawa pihak pembelaan menutup kesnya. Rosli akan mendengar hujahan lisan pada 18 Mei.