TheMalaysiaTime

Zamri Vinoth didakwa esok

2026-03-16 - 10:04

Zamri Vinoth dijangka dituduh mengikut Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu keluar kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. PETALING JAYA: Penceramah bebas Zamri Vinoth akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur esok berhubung perhimpunan yang dirancang di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara pada 7 Feb lepas. Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pertuduhan terhadap Zamri Vinoth akan dibacakan di hadapan Majistret Faezahnoor Hassan pada 9 pagi, lapor Bernama. Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Zamri ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut. Media sebelum ini melaporkan, siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan itu pada 7 Feb lepas telah dirujuk kepada Pejabat Jabatan Peguam Negara (AGC). AGC kemudian mengeluarkan arahan pertuduhan melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. Pada 13 Mac lepas, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail mengesahkan Zamri telah melarikan diri ke Thailand. Beliau berkata usaha mengesan individu terbabit giat dijalankan dengan bantuan pihak berkuasa Thailand.

Share this post: