Zamri tidak didakwa hari ini, kata peguam
2026-03-16 - 05:34
Zamri Vinoth sebelum ini menafikan dakwaan cuba melarikan diri sebaliknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan. PETALING JAYA: Peguam kepada Zamri Vinoth menafikan bahawa penceramah bebas itu akan didakwa hari ini kerana siasatan kes terhadapnya masih berjalan. Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata pihaknya belum pasti tarikh sebenar anak guamnya itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur, menurut Harian Metro. Terdahulu tular mengenai laporan yang mendakwa bahawa Zamri dijangka didakwa di mahkamah hari ini. Zamri disiasat kerana didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman yang menyasarkan komuniti India serta kenyataan berkaitan perhimpunan pada 7 Februari berhubung isu kuil tanpa kebenaran. Ketua Polis Negara Khalid Ismail sebelum ini berkata pihaknya menerima arahan pertuduhan terhadap Zamri dan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak namun risikan mendapati mereka telah melarikan diri ke Thailand. Beliau berkata pertuduhan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas kedua-dua suspek berjaya dikesan dan dibawa pulang. Bagaimanapun Zamri menafikan dakwaan cuba melarikan diri, sebaliknya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika diperlukan.