TheMalaysiaTime

Zambry sifatkan keputusan MIC kekal dalam BN berpandangan jauh

2026-03-26 - 03:51

Zambry Abdul Kadir berkata keputusan MIC mencerminkan akar sejarah panjang kerjasama sejak era Perikatan sebelum diperkukuh melalui BN. PETALING JAYA: Keputusan MIC untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai langkah jelas, berpandangan jauh dan menolak politik perpecahan, kata Zambry Abdul Kadir. Setiausaha agung gabungan itu dalam kenyataan berkata keputusan dibuat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu bukan sekadar pendirian politik semasa, sebaliknya mencerminkan akar sejarah panjang kerjasama sejak era Perikatan sebelum diperkukuh melalui BN. Menurut Zambry, keputusan MIC itu juga berasaskan beberapa justifikasi penting, termasuk keperluan terhadap kestabilan politik dalam suasana semasa yang semakin tidak menentu. Beliau turut menekankan BN sebagai model kerjasama pelbagai kaum yang telah lama diuji dan penting dalam memastikan keharmonian sosial di negara ini terus terpelihara “Ketiga keupayaan untuk memperbaharui diri. Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, BN tidak statik dan sedang melalui proses penstrukturan semula, memperkukuh organisasi serta memperbaharui pendekatan supaya lebih responsif kepada kehendak rakyat masa kini. “Keempat, menolak politik perpecahan. Dalam suasana ada usaha untuk memecah-belahkan kesatuan sedia ada, keputusan itu menghantar isyarat jelas bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek,” katanya. Semalam, Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini namun masih berteka-teki sama ada ia akan menyertai Perikatan Nasional (PN) selepas ini. Sebelum ini, Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan mengumumkan MIC secara rasmi telah menyertai gabungan terbabit namun Saravanan menolak dakwaan itu. Perbincangan mengenai kemungkinan MIC meninggalkan BN timbul sejak sekian lama, terutamanya selepas perhimpunan agung parti pada November apabila perwakilan memberikan mandat kepada kepimpinan untuk mempertimbangkan langkah tersebut susulan rasa tidak puas hati terhadap peranan dan relevan parti.

Share this post: