Zahid sahkan jumpa Hamzah di Bangkok bincang perpaduan Melayu
2026-03-06 - 10:03
Pengerusi BN Zahid Hamidi (kiri) dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dilaporkan bertemu di Bangkok pada Disember lalu ketika lawatan kerja timbalan perdana menteri itu. PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin merupakan antara ahli politik yang ditemui beliau di Bangkok bagi membincangkan isu perpaduan Melayu dan Islam. Bercakap kepada media di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini, Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata pertemuan dengan Hamzah tersebut berlaku pada tahun lepas. “Baru-baru ini tidak ada (jumpa Hamzah), lama dulu ada. (Perjumpaan itu) tahun lepas,” katanya kepad media di Menara Felda di Kuala Lumpur, lapor Berita Harian. Memetik sumber daripada beberapa parti, Berita Harian melaporkan bahawa Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan turut bertemu Zahid pada ketika itu bagi membincangkan cadangan untuk menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam. Samsuri kini merupakan pengerusi PN. Sumber tersebut menyatakan bahawa pertemuan itu diadakan pada awal Disember sewaktu timbalan perdana menteri itu berada di Thailand bagi siri lawatan kerja. Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebelum ini menuduh Hamzah terlibat dalam rundingan rahsia dengan Zahid untuk membentuk percaturan politik baharu yang membolehkan Hamzah dilantik sebagai timbalan perdana menteri, sementara seorang lagi pemimpin memegang jawatan tertinggi. Beliau turut mendakwa Hamzah menjadi dalang di sebalik gerakan dalaman untuk menggugat dan memecahbelahkan Bersatu, yang dikatakan menjadi alasan utama mengapa Ahli Parlimen Larut itu dipecat pada 13 Feb lepas. Semalam, Hamzah membidas Muhyiddin yang menuduh beliau mengkhianati parti dengan bertemu Zahid, sambil menyatakan bahawa beliau bebas untuk bertemu sesiapa sahaja atas kapasitinya sebagai ketua pembangkang. “Itu hanya alasan untuk pecat saya dari parti. Jadi tak payahlah cerita panjang-panjang ... macam budak-budaklah.”