TheMalaysiaTime

‘Yang kalut ni orang luar’, Annuar tepis dakwaan PN alami krisis dalaman

2026-03-08 - 14:14

Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Annuar Musa berkata, tanggapan bahawa PN berada dalam keadaan ‘kalut’ sebenarnya lebih banyak berpunca daripada persepsi yang dibentuk pihak luar. (Gambar Facebook) KUALA SELANGOR: PAS menepis dakwaan kononnya Perikatan Nasional (PN) sedang dilanda krisis dalaman, sebaliknya menegaskan gabungan itu kekal stabil dan tersusun menjelang PRU16. Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Annuar Musa berkata, tanggapan bahawa PN berada dalam keadaan ‘kalut’ sebenarnya lebih banyak berpunca daripada persepsi yang dibentuk pihak luar. Beliau turut mendakwa ada segelintir pihak berusaha cetus polemik politik dengan memetik pandangan peribadi pemimpin parti gabungan. “Saya rasa yang kalut ini di luar. Ada pihak yang cuba menambah kekalutan itu, tetapi dalam PN sebenarnya tidak ada kekalutan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jentera PRU16 Dewan Pemuda PAS Selangor. “Kadang-kadang bila seseorang bercakap secara peribadi, orang anggap itu kenyataan parti. Sedangkan ada kenyataan peribadi dan ada kenyataan rasmi organisasi.” Mengulas lanjut, beliau mengakui wujud perbezaan pandangan kebelakangan ini, terutamanya dalam kalangan pimpinan Bersatu, namun menegaskan situasi itu tidak menggambarkan PN secara keseluruhan. Dalam pada itu, Annuar berharap Ahmad Samsuri Mokhtar diberi ruang sepenuhnya menggalas jawatan pengerusi PN, memetik usahanya menyusun semula organisasi itu supaya lebih mantap. “Izinkan pimpinan baru membawa pendekatan-pendekatan pembaharuan ... yang pentingnya, PN jadi semakin kuat, boleh diterima oleh rakyat. “Biarlah PN menjadi penawar bagi racun-racun politik, yang diperlukan rakyat,” katanya.

Share this post: