TheMalaysiaTime

Yang bagus, tak berapa bagus, dan tak bagus

2026-03-20 - 02:50

Petang Rabu lalu, dilaporkan sekumpulan aktivis Muslim dan Hindu bertemu di Putrajaya dalam apa yang dikatakan usaha menuju perdamaian. Ini pada hemat saya bagus. Apatah lagi ia dilangsungkan di tengah-tengah suasana ketegangan agama dan kaum yang tercetus berikutan isu kuil tidak sah, dan bermacam provokasi yang menyusul. Tidak perlulah saya huraikan kerana umum sudah maklum. Menurut Malaysiakini yang memetik laporan pelbagai media, pertemuan dianjurkan sebagai sebahagian daripada program Madani Harmoni namun tidak dinyatakan secara jelas pihak yang menggerakkan. Bukan saya kata penggerak pertemuan tidak penting, tetapi yang lebih penting tujuan ia diadakan. Dilaporkan juga seramai 20 wakil Muslim dan 10 Hindu menyertai perbincangan termasuk penceramah kontroversi, Zamri Vinoth, dan rakan baiknya, Firdaus Wong. RS Chandrasegaran yang dikenali sebagai Cikgu Chandra turut hadir. Beliau disifatkan sekutu beberapa kumpulan Muslim berkait isu kuil tidak sah. Pertemuan dikatakan bergerak ke arah positif. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, serta Presiden Persatuan Hindu dan Kuil Malaysia, N Sivakumaran, mengadakan sidang media bersama selepas perbincangan. Menurut Zainul, perbincangan lanjut akan diteruskan. “Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang satu sama lain bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain,” kata beliau dipetik BH Online. Ini bagus. Sivakumar menyuarakan sentimen sama dengan menegaskan perlunya memelihara keharmonian negara. Ini juga bagus. Dikatakan antara cadangan yang dikemukakan hasil perbincangan ialah penubuhan jawatankuasa khas oleh Jabatan Perdana Menteri dan pelaksanaan audit tanah melibatkan kuil. Yang ini pun bagus. Sinar Harian menyifatkan usaha mempertemukan wakil badan bukan kerajaan Islam dan India (Hindu) dalam suasana Ramadan dilihat sebagai langkah positif ke arah meredakan ketegangan antara kaum yang tercetus sejak kebelakangan ini. Inisiatif ini, kata Sinar Harian, bukan sahaja memcerminkan kematangan masyarakat sivil malah menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk memilih jalan dialog berbanding perbalahan tebuka. Ini bagi saya memang bagus. Bagaimanapun, menurut Malaysiakini, pihak Hindu dilihat kurang diwakili tokoh berprofil tinggi selain Sivakumar. Ini kata saya tidak berapa bagus. Ahli politik DAP yang agak famous, RSN Rayer, dan seorang lagi politikus DAP, Senator RA Lingeshwaran, awalnya dijangka hadir. Menurut Malaysiakini, Lingeswaran pada pagi Rabu membuat hantaran di Facebook memberitahu beliau dan Rayer dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Namun pada petangnya si senator membuat update dan berkata mereka dapat tahu Ketua Polis Negara Khalid Ismail tidak akan terlibat dalam pertemuan itu. Pada awalnya mereka difahamkan KPN akan hadir. Tidak diketahui siapa yang beritahu mereka demikian. Sebaliknya Zamri dan Firdaus yang hadir. “Kami enggan hadir,” kata Lingeshwaran kepada Malayisaini. Ini pada pandangan saya sesuatu yang tak berapa bagus, meskipun mereka ada alasan tersendiri. Malaysiakini turut melaporkan Lingeswaran memuat naik gambar beliau dengan Rayer berserta kapsyen: “Kami tidak menghadiri sebarang mesyuarat. Kami hanya singgah untuk minum teh sebelum pulang ke Pulalu Pinang. Hari raya semakin hampir. Kita mengutamakan perpaduan”. Dalam gambar itu si senator memegang gelas berisi teh. Ini menurut saya is not helping matters. Tidak mahu hadir satu hal tetapi tidak perlulah letak gambar dan terutama kapsyen begitu yang boleh mencetus berbagai reaksi negative. Ini tidak bagus. Dua pertubuhan utama Hindu mengkritik pertemuan itu kerana mendakwa hanya membabitkan orang tertentu yang konon mewakili semua penganut Hindu. Ini tidak bagus. Aktivis, Tamim Dahri Abdul Aziz, turut memperlekeh pertemuan itu sambil menyindir: “Oh ya, rundingan damai tadi ada hidang bihun tak?” Tak bagus juga ni. Ketua polis negara dipetik The Star berkata, “Cooler heads must prevail regarding the issue of illegal temples“. Saya kira nasihat ini dituju kepada semua pihak. Ini bagus dan nasihat beliau mesti dituruti. Beralih ke laporan Malay Mail semalam. Ia mengenai dapatan survey yang dkendalikan oleh firma penyelidikan antarabangsa, Ipsos. Kaji selidik berkenaan dijalankan antara 25 Disember tahun lalu dan 9 Januari tahun ini. Dapatannya ialah rakyat Malaysia berasa lebih gembira yakni significantly happier tahun ini. Happiness score negara memanjat 5% daripada tahun lalu untuk mencatat 81%. Kata Malay Mail, “Malaysia’s improved score places it comfortably above the global average of 74%, reflecting a broadly positive national mood despite international uncertainties.” Pelbagai faktor disenarai sebagai penyebab kegembiraan yang saya tidak cadang huraikan. Sekadar menyatakan kegembiraan memang bagus. Lagi bagus kalau rakyat tidak diganggu gugat pelbagai isu memecah belah dan cetus kesedihan kerana itu akan menyaksikan kegembiraan rakyat kekal. Ertinya gembira terus. Ini paling bagus. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Share this post: