Wisma Putra usaha bawa keluar rakyat Malaysia di Timur Tengah
2026-03-05 - 13:14
Wisma Putra turut nasihat rakyat Malaysia tangguh perjalanan ke negara yang terjejas dengan konflik semasa, termasuk mereka yang berhasrat menunaikan umrah atau ziarah. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang bekerjasama dengan perwakilan diplomatik Malaysia, kerajaan di Timur Tengah serta syarikat penerbangan untuk memindahkan rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara di rantau berkenaan. Kementerian Luar menyatakan bahawa usaha pemindahan itu turut melibatkan rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air dengan menggunakan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar. “Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas telah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi. “Rakyat Malaysia digesa untuk segera mendaftar dan mengemaskini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia yang terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyelarasan pemindahan berkenaan,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan. Kementerian memaklumkan bahawa pihaknya akan memastikan usaha pemindahan yang penting itu dilaksanakan dengan jayanya, dengan sokongan semua pihak berkaitan, demi kepentingan rakyat Malaysia. Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia di negara yang terjejas supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, mengelakkan kawasan aktiviti ketenteraan dan perhimpunan awam serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Dalam nasihat perjalanan yang dikemas kini, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke negara-negara yang terjejas akibat konflik semasa, termasuk mereka yang berhasrat menunaikan umrah atau ziarah. Wisma Putra berkata pihaknya memandang serius peningkatan ketegangan konflik di Timur Tengah. “Keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia kekal menjadi keutamaan kami. Nasihat ini akan terus berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak. Kami merayu agar semua pihak memahami termasuk agensi pelancongan,” menurut kementerian itu. Situasi di Timur Tengah tegang sejak Sabtu lepas apabila Israel dan Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.