Waytha penyibuk cabar kemenangan pilihan raya Anwar, kata peguam
2026-03-02 - 06:34
P Waytha Moorthy memfailkan saman bagi dapatkan pengisytiharan bahawa Anwar Ibrahim tidak layak jadi Ahli Parlimen Tambun dan pelantikannya sebagai perdana menteri sebagai tidak sah dan terbatal. KUALA LUMPUR: Peguam Anwar Ibrahim memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa peguam P Waytha Moorthy adalah seorang penyibuk apabila memfailkan saman bagi mencabar kemenangan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dan seterusnya pelantikan beliau sebagai perdana menteri. Ranjit Singh berkata Waytha tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memfailkan tindakan tersebut atas kapasitinya sebagai pembayar cukai, warganegara, atau pemimpin sebuah parti politik. Beliau berkata kemenangan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 2022 hanya boleh dicabar melalui petisyen pilihan raya, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga menyatakan bahawa cabaran sedemikian mestilah difailkan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi, seperti yang termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Tambah Ranjit, hanya pengundi Tambun yang mempunyai hak untuk memfailkan petisyen. “Dalam kes ini, tiada petisyen difailkan, dan Waytha hanyalah seorang penyibuk kerana memfailkan saman terhadap Anwar,” katanya dalam hujah untuk membatalkan saman pemula tersebut. Waytha memfailkan saman itu pada 14 Ogos tahun lalu, bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa pengampunan yang diperoleh Anwar pada 2018 tidak mengecualikan beliau daripada hilang kelayakan selama lima tahun yang dikenakan ke atas individu disabitkan dengan kesalahan jenayah. Presiden Parti Kemajuan Malaysia itu meminta Mahkamah Tinggi mengisytiharkan kemenangan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun pada 19 Nov 2022, serta pelantikannya sebagai perdana menteri lima hari kemudian, sebagai tidak sah dan terbatal. Waytha, yang juga menteri dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad antara 2018 dan 2020, berhujah bahawa Anwar hilang kelayakan untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ekoran sabitan dan hukuman jenayahnya. Pada 16 Mei 2018, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memberikan pengampunan penuh kepada Anwar bagi tiga kes melibatkan pertuduhan salah guna kuasa dan liwat, dengan alasan berlaku ketidakadilan. Anwar menegaskan bahawa saman Waytha tidak boleh dipertahankan, tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadapnya, serta bersifat remeh, menyusahkan dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah. Peguam S Karthigesan, yang bertindak sebagai peguam utama bagi Waytha, berhujah tidak ada pertikaian bahawa Anwar diberikan pengampunan. Bagaimanapun, beliau berkata ia tidak menyatakan secara nyata bahawa beliau diberikan pengecualian daripada larangan lima tahun untuk bertanding dalam pilihan raya. Beliau menggesa mahkamah untuk menolak permohonan pembatalan tersebut dan mendengar merit saman itu memandangkan perkara tersebut merupakan isu perlembagaan yang memerlukan penentuan mahkamah. Karthigesan berkata Hakim Alice Loke secara alternatif boleh merujuk persoalan Waytha mengenai pengampunan diraja dan pengecualian larangan lima tahun itu ke Mahkamah Persekutuan untuk penentuan. Peguam Persekutuan Salehuddin Ali, yang mewakili Jabatan Peguam Negara sebagai sahabat mahkamah, turut menerima pakai hujah Ranjit. Loke akan menyampaikan keputusannya pada 18 Mac.