Warga emas mengaku tak salah pecah 13 skrin ATM sekitar Jinjang
2026-02-26 - 09:14
Leong Kuen, 67, yang bekerja sebagai tukang cat mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan pecah 13 skrin ATM selain khianat mesin deposit tunai, di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR: Tukang cat warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas empat pertuduhan memecahkan 13 skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di tiga bank di sekitar Jinjang, minggu lalu. Leong Kuen, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan empat Majistret iaitu Aina Azahra Arifin, Atiqah Mohamed Saim, Nurul Izzah Hasan Basri, dan Faezahnoor Hassan. Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat itu menggunakan batu dan tangan antara 8 pagi 16 Feb hingga 9.44 malam 17 Feb lepas sehingga menyebabkan kerugian masing-masing RM45,183.20 kepada Maybank dan RM24,257.76 kepada RHB Bank. Leong juga berdepan satu lagi pertuduhan khianat dengan cara menumbuk panel penutup mesin deposit tunai di Maybank Jinjang Selatan sehingga mengakibatkan kerugian RM800 kepada Maybank, pada 10 malam 16 Feb. Dia didakwa melakukan semua kesalahan di Public Bank, Maybank, dan RHB Bank sekitar Jinjang Utara dan Jinjang Selatan, Kepong mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM14,300 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 7 serta 20 April ini untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, Nur Farhana Mohamad Poad, Nurul Farhanah Arul Hisham, dan Nurainizatul Farhana Zainal, manakala Leong tidak diwakili peguam.