TheMalaysiaTime

Warga emas dijel 20 tahun, 10 sebatan rogol budak OKU

2026-03-16 - 12:44

Mahkamah Sesyen Lahad Datu juga mengarahkan tertuduh yang juga warga Indonesia dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang lelaki warga emas berusia 79 tahun dihukum penjara 20 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Lahad Datu selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak perempuan orang kelainan upaya (OKU), dua tahun lalu. Hakim Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu selepas memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan. Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol mangsa yang juga OKU lembam berusia 10 tahun (ketika kejadian) di sebuah rumah di Lahad Datu, pada 2024. Lelaki itu yang juga pendatang asing tanpa izin warga Indonesia didakwa mengikut Seksyen 376(2) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ng Juhn Tao manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memilih membela diri secara bersumpah dengan memberi keterangan bagi pihak dirinya sendiri. Terdahulu, Ng dalam hujahnya berkata mahkamah wajar menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan bagi menunjukkan bahawa masyarakat memandang serius jenayah sedemikian. Katanya, ia bagi menghantar mesej jelas bahawa kesalahan seksual terhadap kanak-kanak tidak akan dipandang ringan dan akan dihukum dengan tegas. Mahkamah kemudian memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan serta dirujuk ke Jabatan Imigresen bagi tindakan pengusiran selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Share this post: