TheMalaysiaTime

Warga emas berdepan tuduhan kes letupan IED meninggal dunia

2026-02-27 - 15:44

Yeoh Hock Sun didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan di Pangsapuri Desa Palma, Nilai. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Warga emas yang berdepan lima pertuduhan kes peranti letupan buatan sendiri (IED) di Nilai pada Disember lalu meninggal dunia malam ini. Ketua Polis Nilai, Johari Yahya, berkata Yeoh Hock Sun, 63, disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 8.18 malam. Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh anggota pengiring Penjara Kajang, Selangor, kepada IPD Nilai pada 8.30 malam. “Punca kematian ialah ‘refretory shock’, iaitu keadaan renjatan (shock) yang tidak memberi tindak balas walaupun rawatan standard sudah diberikan secara optimum,” katanya menurut Berita Harian. Pada 9 Jan, lelaki itu mengaku tidak bersalah ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin. Menurut Sinar Harian, prosiding itu ditangguhkan kira-kira 20 minit selepas Yeoh mengadu mengalami sesak nafas secara tiba-tiba. Prosiding kembali disambung selepas doktor mengesahkan Yeoh berada dalam keadaan stabil. Mengikut pertuduhan, Yeoh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bahan letupan yang menyebabkan kerosakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda milik seorang lelaki. Dia didakwa memiliki bahan letupan dalam keadaan yang menimbulkan anggapan munasabah bahawa berniat menggunakannya bagi maksud menyebabkan kecederaan. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh sama, antara 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam, di sebuah unit Pangsapuri Desa Palma, di dalam sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di kawasan Star Valley, Nilai, serta di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin, Nilai. Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan. Selain itu, Yeoh turut didakwa di bawah Seksyen 4 akta sama kerana menggunakan IED secara salah dan dengan niat jahat untuk mendatangkan kecederaan. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan.

Share this post: