TheMalaysiaTime

Warga asing dilarang beli minyak masak peket RM2.50 mulai 1 Mac

2026-01-29 - 03:31

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali berkata larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh warga asing boleh dilaksanakan dengan berkesan melalui sistem pembelian diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Warga asing dilarang membeli minyak masak peket bersubsidi berharga RM2.50 berkuat kuasa 1 Mac ini. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, berkata larangan itu akan digubal melalui Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961. Menurutnya, peruntukan undang-undang itu akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan. “Sebelum ini, terdapat banyak gesaan melarang pembelian oleh warga asing, namun peruncit membangkitkan aspek praktikal, iaitu mekanisme pelaksanaan larangan, termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan. “Dengan adanya sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, ia akan membolehkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan dengan berkesan,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat. Beliau menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung keberkesanan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) dalam pengagihan minyak masak peket bersubsidi kepada warga emas dan golongan miskin. Latiff berkata, masalah timbul di luar bandar yang tiada kemudahan internet dan meminta Armizan menyatakan langkah memastikan tiada isi rumah tercicir daripada pelaksanaan aplikasi itu. BERITA LANJUT MENYUSUL

Share this post: