TheMalaysiaTime

Wanita Thailand antara 7 ditahan kes tembak kereta komander AKPS

2026-02-27 - 05:43

Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah berkata dua suspek mempunyai kesan ‘Gun Short Residue’ yang turut dikesan pada kunci motosikal dipercayai digunakan untuk melakukan tembakan kelmarin. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga Thailand ditahan bagi membantu siasatan kes kereta dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam ditembak kelmarin. Ketua Polis Kedah, Adzli Abu Shah, berkata tujuh suspek berusia 22 hingga 52 tahun itu tinggal di kawasan perumahan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan semuanya ditahan mulai 10.30 pagi kelmarin. Menurutnya, warga Thailand itu dipercayai isteri kepada seorang lelaki ditahan, dengan kedua-duanya ditahan di kawasan pemeriksaan pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada 12.30 tengah hari. Mereka disyaki cuba melarikan diri ke negara jiran. “Yang peliknya, pasangan ini tinggal di Bukit Kayu Hitam, tetapi hendak keluar melalui Padang Besar, sebab itu kita tahan untuk siasatan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di IPK Kedah. Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif ketamin dan seorang lagi positif methamphetamine. Menurutnya, mereka turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes rogol, kastam, bunuh dan jenayah. Jelasnya, siasatan lanjut mendapati dua suspek mempunyai kesan “Gun Short Residue” (GSR) yang turut dikesan pada kunci motosikal dipercayai digunakan untuk melakukan tembakan itu. Adzli berkata, semua suspek dipercayai mengenali satu sama lain dan mereka direman sehingga 1 Mac ini, kecuali warga Thailand terbabit direman 14 hari di bawah Akta Imigresen untuk semakan ketulenan dokumen perjalanannya. Beliau juga tidak menolak kemungkinan tembakan itu berniat membunuh kerana ada pihak tertentu tidak berpuas hati dengan tindakan tegas penguatkuasaan sehingga menjejaskan aktiviti penyeludupan haram. Tegasnya, petugas di pintu sempadan akan dibekalkan baju kalis peluru dan senjata bagi memastikan keselamatan mereka tidak terancam. Media sebelum ini melaporkan Proton X70 dipandu Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Nasaruddin Nasir terkena dua das tembakan. Beliau terselamat dalam kejadian 5.40 pagi Rabu lalu.

Share this post: