Wanita mengaku rompak suami RM500,000
2026-03-06 - 08:23
Shameem Begum Abdul Said mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana merompak suami sendiri di Pasir Gudang, pada 24 Feb. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Wanita mengaku salah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana terlibat pakatan jenayah melakukan rompakan berkumpulan terhadap suaminya melibatkan RM500,000, di Pasir Gudang pada 24 Feb. Pertuduhan dikenakan ke atas Shameem Begum Abdul Said, 53, dan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) lumpuh separuh badan, Muhammat Rashid Ismail, 30, dibacakan di hadapan Hakim Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim. Menurut Berita Harian, mereka didakwa bersama pada 12 tengah hari, 24 Feb lalu, di tempat letak kereta di belakang Bank Islam, Pusat Perdagangan, Pasir Gudang. Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. Mereka juga didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 120b(1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 395 kanun sama. Rashid menarik perhatian ramai apabila tiba di pekarangan mahkamah dengan berkerusi roda, berkain pelikat serta beg air kencing, manakala Shameem Begum pula bertudung merah serta menggunakan pelitup muka. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afdhallan Syafiq Azmy, manakala Rashid diwakili Hafez Zalkapli. Shameem Begum pula tidak diwakili peguam. Terdahulu, Hafez memohon anak guamnya ditawarkan jaminan atas faktor kesihatannya iaitu seorang OKU selain memahami prosedur perundangan. Che Wan Zaidi menawarkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh serta menetapkan 8 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.