Wan Saiful dipanggil polis dalam siasatan berkait keluarga Daim
2026-03-11 - 05:44
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mengkritik siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan dan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan perpaduan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan memaklumkan beliau telah dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan berhubung siasatan yang dikaitkan dengan satu laporan melibatkan keluarga Daim Zainuddin serta dakwaan manipulasi media antarabangsa. Wan Saiful berkata beliau tidak pasti mengapa dipanggil, sambil mempersoalkan sama ada tindakan itu merupakan cubaan untuk mengaitkan pihak pembangkang dengan isu berkenaan. Beliau juga mengkritik siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan – yang berkaitan dengan aktiviti yang dianggap memudaratkan demokrasi berparlimen – dan menyifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan perpaduan. “Bagaimana laporan media atau kempen awam boleh diklasifikasikan sebagai aktiviti yang ‘menjejaskan demokrasi berparlimen’? Adakah kempen awam oleh orang politik atau parti politik, atau kritikan terhadap kerajaan yang disiarkan oleh media, juga akan menjadi kesalahan di bawah kerajaan ini? “Tindakan sebegini berpotensi mendatangkan impak serius terhadap kebebasan media, dan pengamal media berisiko disiasat di bawah seksyen berkenaan,” katanya. Wan Saiful berkata beliau dimaklumkan bahawa beberapa ahli akademik dan anggota NGO turut dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan. Sebelum ini, Bukit Aman berkata ia sedang menyiasat dakwaan cubaan individu tertentu untuk menjatuhkan kerajaan dan mengancam kestabilan negara, berdasarkan satu laporan polis. Laporan itu mendakwa bahawa ahli keluarga berpengaruh telah melantik sebuah firma dari United Kingdom bagi memberi tekanan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa. Balu Daim, Naimah Khalid, bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau terlibat dalam cubaan menggugat kerajaan dan menyifatkannya sebagai ‘tidak benar serta tidak masuk akal’.