TheMalaysiaTime

Walau pengalaman kurang sikit, Samsuri layak diberi peluang calon PM, kata Muhyiddin

2026-03-05 - 13:34

Muhyiddin Yassin (kiri) dilaporkan semalam berkata, Ahmad Samsuri Mokhtar tidak semestinya menjadi calon perdana menteri PN bagi PRU16 meskipun beliau dilantik sebagai pengerusi gabungan. PETALING JAYA: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baru dilantik, Ahmad Samsuri Mokhtar, patut diberi peluang menjadi calon perdana menteri pada PRU16, kata pendahulunya, Muhyiddin Yassin. Dalam satu video temu bual dimuat naik di Facebook Bersatu, bekas perdana menteri itu berkata menteri besar Terengganu itu layak memegang peranan berkenaan walaupun ‘pengalaman kurang sikit’. “Tapi, mana tahu bila dah dicuba, dah diberi peluang, kesempatan, dia boleh mampu tunjukkan kebolehan,” katanya presiden Bersatu. Kapsyen video tersebut tidak menyatakan bila temu bual itu berlangsung, namun menyebut ia adalah rakaman penuh maklum balas Muhyiddin mengenai jawatan pengerusi PN dan calon perdana menteri. Beberapa media semlam melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, Samsuri tidak semestinya menjadi calon perdana menteri PN bagi PRU16 walaupun beliau dilantik sebagai pengerusi gabungan itu. Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan perkara berkenaan belum dibincang Bersatu dan PAS. Samsuri dalam maklum balas yang tajam kepada Muhyiddin, menyatakan tidak kira sesiapa pun yang menjadi calon perdana menteri PN, keutamaan pada ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh gabungan dan meningkatkan kerjasama antara parti komponen menjelang PRU16. Berkait jawatan pengerusi PN, Muhyiddin mengulangi dalam video itu bahawa pemimpin kanan daripada parti komponen seharusnya memegang jawatan tersebut. Beliau bagaimanapun mengakui perlembagaan PN tidak menetapkan syarat sedemikian. Menurut Muhyiddin, PAS bertegas supaya naib presidennya, Samsuri, dilantik ke jawatan terbabit. “Kita ini sahabat dalam perjuangan, kita tak apalah. Mungkin ada sebab musabab yang kita nak itu bagi ruang dan peluang pada pemimpin dan tokoh muda,” katanya.

Share this post: