Wakil Muslim, Hindu anjur mesyuarat pertama cari titik damai sempena Ramadan
2026-03-18 - 12:20
Presiden Kuil-kuil Hindu dan Persatuan-persatuan Agama Hindu Malaysia N Sivakumar bersalaman dengan Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia Zainul Rijal Abu Bakar selepas sesi dialog program Harmoni Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. PUTRAJAYA: Dalam semangat Ramadan yang menekankan keinsafan dan kedamaian, wakil NGO Muslim dan Hindu hari ini menganjurkan mesyuarat pertama bagi mencari titik persamaan dalam menyelesaikan beberapa isu termasuk berkaitan pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan. Kedua-dua wakil itu dipertemukan dalam satu majlis khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Turut hadir dalam pertemuan itu pemimpin masyarakat dan tokoh agama pelbagai kaum. Majlis itu dilihat sebagai usaha meredakan ketegangan susulan kenyataan dan tindakan beberapa pihak yang mencetuskan perdebatan hangat di media sosial sejak beberapa minggu lalu. Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar, berkata dialog itu membuka ruang kepada kedua-dua komuniti berunding tanpa dipengaruhi pihak luar. Beliau berkata, sesi dialog penting sebagai langkah pertama dalam mencari penyelesaian kepada masalah yang berlaku. “Kita berusaha memadamkan titik panas yang melanda ketika ini. Kita akan berdialog dan berbincang antara satu sama lain, bukan lagi melihat kepada komentar pihak ketiga atau provokasi orang lain. “Ini adalah langkah permulaan dan kita mahu bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog menerusi program Harmoni Madani. Zainul berkata, rundingan pusingan pertama itu membabitkan kira-kira 20 wakil Melayu dan 10 wakil India yang komited mencari penyelesaian secara harmoni. Sementara itu, Presiden Kuil-kuil Hindu dan Persatuan-persatuan Agama Hindu Malaysia (Mahima), N Sivakumar, berkata pertemuan berkenaan amat penting bagi mencari penyelesaian. Katanya, antara cadangan dikemukakan adalah penubuhan sebuah jawatankuasa khas bawah Jabatan Perdana Menteri serta pelaksanaan audit tanah membabitkan rumah ibadat. “Usaha hari ini adalah untuk mencari satu penyelesaian damai antara komuniti Melayu dengan komuniti India. Ini rundingan pertama di peringkat awal dan kita bersetuju supaya perundingan meja bulat diadakan bagi membatasi isu sensitif seperti kaum dan pembinaan tanpa izin. “Kita juga mencadangkan satu jawatankuasa bawah Jabatan Perdana Menteri serta audit tanah untuk mendapatkan data yang jelas,” katanya. Dalam pada itu, Sivakumar berkata semua pihak menginginkan hidup dalam negara yang harmoni dan tidak sewajarnya perpaduan serta kedamaian dipertaruhkan angkara segelintir individu tidak bertanggungjawab. “Sebenarnya, kita memang hidup sebagai...dalam satu negara, Malaysia yang harmoni. Tetapi disebabkan satu atau dua orang, disebabkan mulut dan tangan mereka...kita harus lupakan mereka sebaliknya kita mencari perdamaian,” katanya. Terdahulu, sesi dialog yang diadakan secara tertutup itu berlangsung selama empat jam bermula 3 petang tadi. Antara dilihat hadir Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) Zamri Vinoth, aktivis Cikgu Chandra atau nama sebenar S Chandrasegaran serta pendakwah bebas Firdaus Wong. Turut kelihatan aktivis yang juga pempengaruh Kumaresan Jothi @ Santhanar Dronachariyar.