Wakil DAP gesa Ahli Parlimen boikot acara Kedutaan AS
2026-03-02 - 05:54
Syahredzan Johan berkata penyokong kerajaan dan pembangkang boleh menunjukkan pendirian mereka tidak lagi boleh menerima tindakan Amerika Syarikat di Timur Tengah. (Gambar Facebook) KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan mencadangkan wakil rakyat tidak memegang jawatan rasmi memboikot acara anjuran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) sebagai bantahan peranan Washington dalam serangan terbaru ke atas Iran. Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengakui keperluan pegawai kerajaan menghadiri acara sedemikian demi mengekalkan hubungan diplomatik dengan. Namun beliauberkata Ahli Parlimen yang bukan sebahagian daripada pentadbiran masih boleh membuat kenyataan politik dengan tidak menghadiri majlis Kedutaan AS. “Kita sebagai Ahli Parlimen biasa patut memboikot acara yang dianjurkan Kedutaan AS. Sebagai backbencher yang tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan, mungkin kita tidak perlu hadir. “Jika kita menerima jemputan ke sambutan Hari Kemerdekaan mereka, jangan hadir. Itu menunjukkan kita tidak lagi boleh menerima apa yang mereka lakukan,” katanya di Dewan Rakyat. Ahli Parlimen DAP itu mencelah perbahasan oleh Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung usul Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengecam serangan AS-Israel ke atas Iran. Suhaizan berkata beliau bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Syahredzan. Sabtu lalu, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan mengejut ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, selain beberapa pemimpin kanan lain. Serangan itu mencetuskan tindakan balas oleh Iran ke atas Israel serta beberapa negara Arab, termasuk Bahrain, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu.