TheMalaysiaTime

Wakil DAP bidas Ahli Parlimen BN gagal hadir undi RUU had tempoh PM

2026-03-03 - 03:14

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berkata PH mempunyai dua kali ganda bilangan Ahli Parlimen berbanding BN tetapi mampu memastikan kehadiran penuh. (Gambar Facebook) PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen DAP menyindir Barisan Nasional (BN), apabila tiga daripada Ahli Parlimennya tidak hadir semasa undian rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri. Ia menyebabkan RUU terbabit gagal mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk diluluskan di Dewan Rakyat semalam. Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin turut mempersendakan hasrat BN untuk bertanding 115 kerusi Parlimen pada PRU16, dengan menyifatkannya sebagai berani tetapi tidak realistik apabila gabungan itu gagal mengawal kehadiran 30 Ahli Parlimennya sendiri. “Dengan hanya 30 Ahli Parlimen pun, kamu tidak dapat memastikan kehadiran penuh. Tiga daripada mereka tidak hadir dalam undian penting (yang memerlukan majoriti dua pertiga). “(Pakatan Harapan) mempunyai 79 ahli Parlimen tetapi mampu memastikan kehadiran penuh. Kami semua hadir kerana menghormati mandat rakyat dan menyokong reformasi institusi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. Dewan Rakyat gagal meluluskan pindaan Perlembagaan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri apabila kekurangan dua undi daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan, iaitu 148 ahli Parlimen. Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakya Alice Lau kemudian mendedahkan bahawa lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan tidak hadir semasa undian tersebut. Satu sumber memberitahu FMT bahawa Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir termasuk Hishammuddin Hussein (Sembrong) dan Suhaimi Nasir (Libaran) daripada Umno, serta Timbalan Presiden MIC M Saravanan (Tapah). Cha, yang merupakan Ahli Parlimen dua penggal, mencabar BN supaya bertanding kesemua 222 kerusi Parlimen dalam PRU16, dengan menyatakan ia adalah hak gabungan itu untuk bertanding sebanyak mana kerusi yang diingini. “Cuma tandatangan watikah untuk 222 calon. Kami tiada masalah,” tambah setiausaha DAP Negeri Sembilan itu. Cha merujuk kepada laporan Malaysiakini yang memetik sumber sebagai berkata BN berhasrat bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen pada PRU16 bagi membolehkan gabungan itu menerajui kerajaan Persekutuan. Menurut sumber itu, matlamat tersebut adalah untuk menghapuskan persepsi bahawa BN merupakan ‘pemain kedua’ di belakang PH dalam kerajaan perpaduan dengan memenangi lebih banyak kerusi berbanding gabungan yang dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Share this post: