TheMalaysiaTime

Video nostalgia titah ucapan Aidilfitri RMS raih perhatian rakyat

2026-03-19 - 06:20

Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pasangan Afzaa Fadini Abdul Aziz dalam video Aidilfitri berunsur nostalgia. (Gambar Facebook) SHAH ALAM: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah tampil dengan pendekatan berbeza dalam titah ucapan bersempena dengan Aidilfitri tahun ini menerusi video berunsur nostalgia yang berjaya mencuri perhatian rakyat. Pejabat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dalam kenyataan memaklumkan video itu, yang dimuat naik di platform media sosial rasmi baginda seperti Instagram, Facebook serta TikTok, menggabungkan elemen tradisi dan nostalgia yang dekat di hati masyarakat. “Ia memaparkan keceriaan kanak-kanak, kenangan bermain basikal, suasana menyediakan juadah seperti lemang serta amalan ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan yang menjadi teras sambutan Aidilfitri. Video berdurasi 1 minit 39 saat yang turut menampilkan Afzaa Fadini Abdul Aziz itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan ribuan tontonan, perkongsian dan komen positif daripada pelbagai lapisan masyarakat. Rata-rata warganet meluahkan rasa teruja dan gembira, selain membanjiri ruangan komen dengan ucapan Selamat Hari Raya kepada Tengku Amir Shah dan Afzaa Fadini malah ada yang menyifatkan pasangan diraja itu sebagai mesra rakyat serta mencuit hati. Menerusi titah itu, Tengku Amir Shah menyampaikan Salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Selangor dengan disertai doa dan harapan agar ikatan silaturahim terus diperkukuh selain kesejahteraan sentiasa mengiringi setiap keluarga. “Sambutan perayaan lebih bermakna dengan amalan santuni keluarga, saudara-mara dan rakan taulan serta bermaaf-maafan. “Beta, Tengku Amir Shah bersama permaisuri hati Datin Paduka Seri Afzaa Fadini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat seluruh rakyat Selangor, tidak kira di mana anda berada. “Sampaikan salam beta dan keluarga kepada seluruh ahli keluarga anda dengan ucapan Selamat Hari Raya,” titah baginda. Menurut kenyataan itu, pendekatan berkenaan bukan sahaja mencerminkan keprihatinan dan kehalusan budi Raja Muda Selangor malah memperlihatkan evolusi komunikasi institusi diraja yang lebih dekat serta relevan dengan rakyat khususnya generasi muda.

Share this post: