TheMalaysiaTime

Usul Muhyiddin calon PM ke-11 ikut ‘pintu belakang’, dakwa Kiandee

2026-03-14 - 09:04

Ronald Kiandee mendakwa usul mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal perdana menteri ke-11 dibuat secara ‘mengejut’ pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu tahun lalu. PETALING JAYA: Ronald Kiandee mendakwa usul mencalonkan Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal perdana menteri ke-11 daripada Bersatu dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu tahun lalu dibawa melalui ‘pintu belakang’. Menurut naib presiden Bersatu itu, usul berkenaan dibawa secara ‘mengejut’ memandangkan ia tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) sebelum perhimpunan tersebut diadakan. “Sebagai naib presiden serta ahli MPT Bersatu ketika itu, saya mengesahkan usul itu dibuat melalui pintu belakang dan tidak langsung dibincangkan dalam mesyuarat MPT sebelum PAT. “Pada mesyuarat itu, beberapa ahli MPT membangkitkan isu akuan berkanun (SD) dan persoalan mengenai usul yang akan dibawa. Namun, ia dinafikan sendiri oleh presiden (Muhyiddin) dengan memberikan jaminan perkara itu hanya dibincangkan semula selepas PAT. “Bagaimanapun, usul Muhyiddin sebagai calon tunggal perdana menteri ke-11 tetap dibawa dan dibentangkan oleh ketua penerangan secara mengejut melalui pintu belakang. Ia disambut oleh pembahas tertentu yang telah ‘diaturkan’ untuk membawa naratif tersebut,” kata Ahli Parlimen Beluran itu di Facebook. Beliau turut membidas Ahmad Faizal Azumu yang tidak mempunyai asas moral untuk menyindir PAS atau Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai etika organisasi, terutama dalam menentukan siapa calon perdana menteri. “Ahli Bersatu pastinya tidak lupa apabila beliau pernah mengeluarkan kenyataan mendakwa Muhyiddin satu-satunya calon yang layak sebagai perdana menteri ke-11 pada 2024 seperti dilaporkan media. “Kenyataan tersebut dibuat secara semberono tanpa mengambil kira perasaan rakan-rakan parti komponen PN,” katanya. Sebelum ini, isu calon perdana menteri PN kembali perhatian susulan beberapa kenyataan pemimpin parti komponen mengenai perkara itu. Semalam, Faizal yang juga naib presiden Bersatu berkata Samsuri mungkin ‘dihenjut’ sebelum menulis Muhyiddin bukan calon perdana menteri. Katanya, presiden Bersatu itu sekadar menerangkan bahawa pengerusi PN bukan automatik calon perdana menteri memandangkan perkara itu ditentukan dalam mesyuarat gabungan.

Share this post: