TheMalaysiaTime

Usaha pertahan negara tuntut dokongan seluruh rakyat, titah Raja Muda Perlis

2026-03-02 - 02:43

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) ketika berkenan menyantuni anggota tentera dan polis yang bertugas di perairan Pantai Timur Sabah. (Gambar Rejimen 504 Askar Wataniah) PETALING JAYA: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa usaha mempertahankan negara tidak seharusnya digalas oleh sektor ketenteraan semata-mata. Sebaliknya, titah baginda usaha mempertahankan negara menuntut sokongan dan dokongan padu seluruh lapisan masyarakat bagi membentuk sebuah sistem pertahanan yang menyeluruh, bersepadu serta berdaya tahan. Baginda yang juga komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah, negara perlu terus mengamalkan pendekatan pertahanan bercorak defensif yang menekankan pemeliharaan keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara sebagai teras utama. “Dalam mendepani era cabaran global yang semakin kompleks dan tidak menentu, pembangunan pertahanan perlu dirangka secara teliti, strategik dan berpandangan jauh kerana sebarang kelemahan atau kekhilafan berpotensi membawa implikasi besar terhadap keselamatan nasional”, titah baginda. Tuanku Syed Faizuddin berkata demikian dalam program santuni anggota keselamatan tentera dan polis yang bertugas di perairan Pantai Timur Sabah sempena Ramadan dan Sambutan Hari Tentera Darat Malaysia ke-93. Antara pulau yang dikunjungi sempena Program Eksesais Perlis-Sabah (Eks PERBAH) 2026 itu ialah Pulau Lankayan, Pulau Bakungan Kecil, Pulau Libaran dan Pulau Berhala. Tuanku Raja Muda turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan anggota keselamatan yang sanggup mengorbankan masa, tenaga malah nyawa demi memastikan keamanan negara terus terpelihara. “Kesetiaan, keberanian dan komitmen tinggi mereka menjadi tunjang utama kepada kesejahteraan serta keselamatan rakyat,” titah baginda. Dalam lawatan tersebut, Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada kerajaan Perlis, MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta rakan-rakan strategik yang turut serta kepada pos-pos operasi.

Share this post: