TheMalaysiaTime

Uniform kerja jadi ganti baju raya pada pagi Syawal

2026-03-21 - 02:10

Seorang jururawat, seorang anggota bomba dan dua pegawai polis berkongsi bagaimana mereka sambut Aidilfitri sambil bertugas, agar orang awam dapat rai musim perayaan dengan selamat. PETALING JAYA: Saat rakyat Malaysia bangun pada pagi Aidilfitri ditemani aroma rendang dan ketupat di rumah, Nurfhazlina Mohamad, 30, akan memulakan rutin kerjanya di wad penjagaan kritikal sebuah hospital. Jururawat kelahiran Lahad Datu, Sabah, itu sudah lima tahun menabur bakti di Pusat Perubatan Subang Jaya, tetapi tahun ini melakar sejarah tersendiri apabila beliau perlu bertugas pada pagi 1 Syawal, tanpa ditemani keluarga dan sahabat handai di kampung halaman. “Terasa kelainannya sebab saya akan bekerja pada waktu pagi, dengar laungan takbir raya, tapi saya terpaksa bertugas dan tak dapat bersama keluarga,” kongsinya dengan FMT. Tambahnya, pesakit tetap perlu dijaga walau pada musim perayaan. Nurfhazlina berkata, Hari Raya selalunya diisi dengan gelak ketawa, hidangan yang dimasak di rumah dan detik pertemuan semula yang dirindui bersama keluarga serta rakan-rakan. Namun, sebaik sahaja menyarung uniform kerjanya, beliau kembali teringat mengapa kerjaya jururawat ini menjadi pilihannya. “Masih rasa macam Raya, tapi dalam suasana yang berbeza,” katanya menambah, tugas menjaga pesakit yang memerlukan keselesaan dan rawatan itulah yang terus membakar semangatnya. Begitu juga kisahnya dengan anggota bomba Amirul Hafiz Kamarudin yang akan berkhidmat di balai bomba dan penyelamat di sini, didorong oleh niat teguh untuk memastikan orang ramai dapat beraya dengan selamat. “Kalau saya dapat lihat orang ramai sambut Raya dengan selamat, itupun sudah beri saya kepuasan dan motivasi untuk terus berbakti,” kata lelaki berusia 30 tahun itu yang sudah 11 tahun berkhidmat bersama jabatan berkenaan. Amirul yang berasal dari Ipoh, Perak, berkata beliau hanya dapat pulang beraya di kampung halamannya lima tahun sekali disebabkan tuntutan kerjayanya. Beliau turut meluahkan penghargaan terhadap ketuanya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, kerana banyak memberi sokongan kepada anggota yang terpaksa bekerja pada musim perayaan ini. Buat Amir Che Ya, ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Petaling Jaya, kemeriahan Syawalnya juga diisi dengan tugas mengawal lalu lintas, berbanding pulang ke kampung halaman bersama keluarga tercinta. “Kebanyakan sambutan Raya kami dihabiskan di atas jalan raya,” katanya, menjelaskan bahawa anggota trafik perlu bekerja untuk memastikan lebuh raya kekal selamat sewaktu berjuta-juta rakyat Malaysia berpusu-pusu balik kampung. Amir berkata, pihaknya sentiasa memantau ‘kawasan hitam’ dan ‘lokasi panas’ kemalangan, sambil menggerakkan anggota ke kawasan yang sering berlaku nahas apabila aliran trafik mula sesak. Inspektor Muniir Muhammad dari ibu pejabat polis daerah yang sama pula berkata, pasukannya sudah lali dan reda apabila terpaksa menyambut hari raya di perantauan. “Kami beraya secara sederhana saja memandangkan masa bersama keluarga sangat terhad. Apa saja peluang yang ada, kami akan hargai sepenuhnya,” katanya. Ketua polis daerah Shamsudin Mamat yang telah berkhidmat dengan pasukan itu sejak 1994 berkata, menghabiskan masa Raya dengan bertugas adalah sebahagian daripada pengorbanan anggota demi memastikan orang awam dapat menyambut perayaan dengan selamat. “Raya bukanlah masa untuk kami bercuti. Walaupun masa bersama keluarga amat terhad, kami terus laksanakan tanggungjawab demi masyarakat,” katanya.

Share this post: