Umno tiada kerjasama DAP, ketua Selangor beritahu Noh
2026-03-17 - 06:23
Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin yakin pertemuan dengan Noh Omar mampu memberi ruang kepada bekas ahli parti itu menilai langkah seterusnya. PETALING JAYA: Ketua Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang kerjasama dengan DAP sekali gus menjawab syarat dikemukakan Noh Omar. Justeru, beliau merancang bertemu bekas ketua Umno Selangor itu dalam masa terdekat berkaitan ‘Rumah Bangsa’. “Saya fikir tak apa, Noh saya sendiri akan jumpa. Saya percaya sempena Ramadan atau Hari Raya Aidilfitri nanti, kami akan bertemu,” katanya kepada FMT. Pada 10 Mac lalu, Noh menyatakan kesediaan kembali ke pangkuan Umno bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ dengan syarat parti itu menamatkan kerjasama dengan DAP. Bekas ketua Umno Selangor itu berkata, pendiriannya berlandaskan prinsip perjuangan parti yang perlu dipertahankan, khususnya melibatkan kepentingan Islam dan hak orang Melayu sebagai asas Umno. Pada masa sama, beliau menyatakan persetujuan terhadap kerjasama politik Umno dan DAP dalam beberapa perkara tertentu, termasuk isu pendidikan dan hak orang Melayu. Sementara itu, Megat berkata hubungan baik yang sedia terjalin antara beliau dan Noh membuka ruang kepada perbincangan lanjut antara kedua-dua pihak. Beliau yakin pertemuan tersebut mampu memberi ruang kepada Noh untuk menilai langkah seterusnya. Noh sebelum ini dipecat Umno kerana melanggar disiplin parti pada PRU15. Pada Julai 2024, beliau mengesahkan menyertai Bersatu, sebelum dilantik ke majlis tertinggi parti itu pada awal 2025. Bagaimanapun, beliau meletak jawatan bulan lalu susulan pemecatan 17 pemimpin parti, termasuk Hamzah Zainudin. Pada 6 Mac lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi dilaporkan berkata parti itu membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung, dengan semua kesilapan dan perbezaan lalu akan diampuni atas semangat Ramadan. Namun, beberapa bekas pemimpin Umno menolak untuk kembali, termasuk Mukhriz Mahathir, Annuar Musa dan Isham Jalil. Dalam perkembangan sama, Umno dilaporkan menerima beberapa lagi permohonan daripada bekas ahli untuk kembali menyertai parti, termasuk bekas naib presiden Hishammuddin Hussein dan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin. Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata Ahli Parlimen Sembrong itu antara yang mengemukakan permohonan, selain Khairy yang sebelum ini dilaporkan menghantar surat rayuan untuk kembali ke dalam parti.