Umno, PAS, PKR, Amanah adakan pertemuan bincang kepentingan Islam, Bumiputera
2026-03-05 - 14:34
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki bertindak sebagai pengerusi pertemuan bagi mencari titik temu walaupun berbeza politik kepartian berkait isu Melayu, Islam, dan Bumiputera. (Gambar Asyraf Wajdi Dusuki) KUALA LUMPUR: Umno, PAS, PKR, dan Amanah antara lapan parti politik mengadakan pertemuan ‘bersejarah’ bagi mencari titik persamaan dalam isu berkait Islam, Melayu, dan Bumiputera. Dalam hantaran di Facebook, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata, musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan Presiden Zahid Hamidi untuk menghimpunkan pelbagai parti, tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam. Parti lain turut terlibat dalam pertemuan berkenaan adalah Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma, dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan) dengan pertemuan berlangsung di Ibu Pejabat Umno, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. “Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu, dan Bumiputera di negara ini. “Hakikatnya, dalam sistem demokrasi, parti-parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang. Perbezaan itu adalah lumrah dalam politik. “Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya sambil memaklumkan beliau diamanah Zahid mempengerusikan pertemuan itu. Asyraf turut memaklumkan pimpinan parti yang menghadiri pertemuan itu juga bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-parti Teras Islam, Melayu, dan Bumiputera sebagai platform perundingan dalam isu berkepentingan bersama. Januari lalu, Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 menyatakan hasrat untuk membentuk kolaborasi agung dan ‘Rumah Bangsa’ bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam.