Umno Johor terbuka terima Hishammuddin, tapi tak bentang ‘karpet merah’
2026-03-12 - 03:34
Umno pada 2023 menggantung keahlian Hishammuddin Hussein selama enam tahun. KUALA LUMPUR: Umno Johor terbuka menerima semula pemimpin yang pernah digantung atau dipecat daripada parti, termasuk bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein. Bagaimanapun, Setiausahanya Abdul Halim Suleiman menegaskan mereka yang mahu kembali perlu mengambil inisiatif sendiri tanpa mengharapkan layanan istimewa daripada parti. Menurutnya, pendirian itu selaras dengan langkah pucuk pimpinan Umno yang membuka ruang kepada bekas ahli kembali menyertai parti menerusi gagasan ‘Rumah Bangsa’. “Rumah Bangsa sudah dibuka. Ini bermakna Umno menawarkan peluang kepada mereka untuk kembali tanpa sebarang syarat. “Namun kita tidak akan sediakan ‘karpet merah’. Pintu sudah dibuka, jadi kalau mereka mahu kembali, datanglah sendiri,” katanya dalam temu bual FMT. Pada 2023, Umno menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun. Minggu lalu, Presiden Zahid Hamidi mengundang ahli yang pernah dipecat atau digantung kembali ke parti itu. Abdul Halim Suleiman berkata Umno Johor juga tiada masalah terima ahli Bersatu yang ingin keluar susulan krisis dalamannya. Menurutnya, tawaran tanpa syarat itu demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali ‘keluarga besar’ Umno. Abdul Halim turut mengingatkan mana-mana pemimpin digantung atau dipecat supaya mengetepikan ego dan tidak terus mempersoalkan tindakan disiplin yang pernah dikenakan terhadap mereka. “Jika pemimpin terlalu ego tanpa melihat keperluan parti, itu terpulang kepada mereka. “Umno Johor tidak ada masalah menerima mereka kembali, tetapi bukan untuk kita pujuk,” katanya. Mengulas kemungkinan Hishammuddin kembali bertanding di Parlimen Sembrong pada PRU16 sekiranya kembali menyertai Umno, Abdul Halim berkata perkara itu bergantung kepada penilaian pucuk pimpinan parti. Katanya, keputusan perlu dibuat secara menyeluruh dan bukan memberi keutamaan kepada seorang individu sahaja. “Kalau hanya seorang pemimpin diberi keutamaan, bagaimana pula dengan pemimpin lain yang selama ini setia mempertahankan parti,” katanya. Abdul Halim berkata Umno Johor juga terbuka menerima mana-mana pihak termasuk ahli Bersatu yang mahu menyertai parti melalui platform ‘Rumah Bangsa’. “Bukan sahaja mereka boleh masuk Umno, tetapi masuklah ke ‘Rumah Bangsa’. Bagi kami, orang Melayu tidak sepatutnya berpecah. “Platform politik seharusnya digunakan untuk kepentingan rakyat, bukan semata-mata demi kepentingan peribadi atau populariti politik,” katanya.