TheMalaysiaTime

Umno Johor tak tergugat sentimen ‘UmDAP’, terus santuni isu rakyat

2026-03-18 - 08:31

Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambros berkata isu utama menjadi perhatian parti ketika ini ialah peluang pekerjaan berkualiti, penyediaan rumah mampu milik dan masa depan pendidikan generasi muda. (Facebook pic) PETALING JAYA: Umno Johor tidak tergugat dengan permainan sentimen seperti slogan ‘UmDAP’ (Umno-DAP) yang sering dibangkitkan pihak lawan, kata Ketua Pemuda Noor Azleen Ambros. Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) yang mengemudi kerajaan Johor memilih untuk memberi tumpuan kepada isu sebenar dihadapi rakyat, khususnya generasi muda berbanding terlibat dalam polemik politik. “Kalau pihak sana (pembangkang) nak main sentimen UmDAP, sentimen bangsa atau apa sahaja, itu terpulang kepada mereka. “Tetapi Umno Johor dan Pemuda Umno Johor fokus untuk mencari penyelesaian kepada isu rakyat,” katanya kepada FMT, merujuk frasa Umno dan DAP yang sering dilabel lawan susulan kerjasama dalam kerajaan perpaduan sejak Disember 2022. Menurut Azleen, antara isu utama menjadi perhatian parti ketika ini ialah peluang pekerjaan berkualiti, penyediaan rumah mampu milik serta masa depan pendidikan generasi muda. Katanya, peluang pekerjaan berkait rapat dengan kestabilan hidup anak muda kerana ia menentukan kemampuan mereka membina kehidupan lebih baik. “Anak muda bercakap tentang kerja dan gaji yang baik. Itu menentukan kestabilan hidup mereka. “Selain itu, mereka juga mahu rumah. Bila ada rumah, barulah mereka rasa selamat dan boleh merancang masa depan,” katanya, selain aspek pendidikan turut menjadi fokus utama kerajaan negeri. Azleen berkata, Johor mempunyai kelebihan kerana dipimpin kerajaan negeri yang stabil dan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi. PRN Johor 2022 menyaksikan BN menang 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH (12), Perikatan Nasional (3) dan Muda (1) sekali gus mengangkat Adun Machap Onn Hafiz Ghazi sebagai menteri besar. DUN Johor akan tamat pada April tahun depan dan pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya dalam tempoh 60 hari dari tarikh itu.

Share this post: