Umno buka pintu penyatuan, pelawa bekas ahli kembali tanpa syarat
2026-03-06 - 03:33
Presiden Zahid Hamidi berkata segala kekhilafan dan perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar Umno. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Umno membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada ahli yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu, kata Presiden Zahid Hamidi. Katanya, Umno melihat masa ini sebagai peluang untuk mempertautkan kembali tali perjuangan dalam kalangan mereka yang pernah bersama parti sebelum ini. “Dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan dan perbezaan yang lalu dimaafkan sepenuhnya, demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar Umno,” katanya dalam kenyataan. Sementara itu, Zahid berkata jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden Umno, Khaled Nordin akan menyelaraskan proses penyatuan tersebut melalui tatacara bersesuaian mengikut perlembagaan parti. “Semoga usaha ini dipermudahkan Allah dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air. “(Usaha ini bagi) memastikan masa depan yang lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya. Januari lalu, Zahid ketika menggulung ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 menyatakan hasrat untuk membentuk kolaborasi agung dan ‘Rumah Bangsa’ bagi menyatukan parti politik Melayu dan Islam. Zahid berkata ‘Rumah Bangsa’ Umno lebih sesuai menyatukan orang Melayu berbanding payung besar yang didakwa gagal sebelum ini.