Umat Islam sambut 1 Syawal dengan solat Aidilfitri
2026-03-21 - 04:10
Umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, ibu negara, pagi tadi. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Umat Islam menyambut 1 Syawal dengan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid serta surau di seluruh negara dalam suasana penuh kesyukuran dan kemeriahan. Cuaca baik dimanfaatkan sepenuhnya umat Islam dengan memenuhi masjid dan surau seawal 7 pagi untuk bertakbir, sebelum menunaikan solat sunat itu serta mendengar khutbah raya. Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Utama Istana Negara. Hadir sama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan isteri Hamidah Khamis, menteri Kabinet serta perwakilan asing. Di Perak, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Selesai menunaikan solat, Sultan Nazrin menziarahi pusara ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah di Makam Diraja. Di Kedah, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir, Alor Setar dengan lebih 2,000 jemaah yang turut disertai Menteri Besar, Sanusi Nor dan barisan exco. Di Perlis, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 jemaah di Dataran Istiadat Istana Arau yang dipimpin Imam Besar Perlis, Amnan Wuthqa Azanol. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua turut berangkat menunaikan solat sunat di sana, yang juga disertai Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah. Di Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri dengan lebih 2,500 jemaah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu. Hadir sama Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar dengan solat sunat Aidilfitri diimamkan Mufti Terengganu, Mohamad Sabri Harun. Di Pahang, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. Baginda berdua diiringi anakanda, termasuk Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan turut hadir Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail. Di Selangor, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Di Negeri Sembilan, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud tiba di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Kuala Pilah pada 8.28 pagi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama lebih 1,000 jemaah. Solat dipimpin Imam Abdul Rahman Ibrahim dengan Menteri Besar, Aminuddin Harun turut hadir. Selesai menunaikan solat, baginda beramah mesra dengan jemaah sebelum bergerak ke Istana Besar Seri Menanti bagi menghadiri Majlis Jamuan Rakyat. Di Johor, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Sultan Abu Bakar, Johor Bahru bersama lebih 2,000 jemaah. Solat sunat Aidilfitri yang disertai Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi itu dipimpin Imam Besar Johor, Muhamad Bukharuddin Ismail. Di Kelantan, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berangkat menyertai ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Muhammadi, Kota Bharu. Baginda diiringi Menteri Besar, Nassuruddin Daud dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz. Di Pulau Pinang, Yang di-Pertua Negeri, Ramli Ngah Talib dan isteri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama 5,000 umat Islam di Masjid Al Bukhary Pulau Pinang, George Town. Di Melaka, Yang di-Pertua Negeri, Ali Rustam dan isteri Asmah Abdul Rahman menyertai 3,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Masjid Al-Azim, Bukit Palah. Di Sabah, Yang di-Pertua Negeri, Musa Aman dan Ketua Menteri, Hajiji Noor menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ribuan jemaah di Masjid Negeri Sabah yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri, Suhaidi Kuanting. Di Sarawak, Yang di-Pertua Negeri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg menyertai kira-kira 5,000 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Negeri, Petra Jaya. Di Putrajaya, lebih 3,000 jemaah termasuk warga asing, khususnya penuntut institusi pengajian tinggi sekitar kawasan itu memenuhi Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang turut dikenali “masjid besi” seawal 7.30 pagi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.