Umat Islam perlu tingkat kefahaman, pegangan terhadap sunah Nabi
2026-02-02 - 03:56
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke majlis penutup Konvensyen Sunah Antarabangsa Perlis di Kangar. PETALING JAYA: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru umat Islam memperkukuh kefahaman dan pegangan terhadap sunah Nabi Muhammad sebagai sumber asas ilmu serta panduan kehidupan. Baginda bertitah sunah memainkan peranan penting bukan saja dalam ibadah, tetapi juga dalam membentuk keperibadian, memperkukuh masyarakat dan membina tamadun teguh berlandaskan nilai moral serta etika. “Sunah membentuk individu yang membina masyarakat dan melahirkan tamadun kuat serta berdaya tahan,” titah baginda semasa menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Sunah Antarabangsa Perlis (PISC) 2026 Siri Ketiga di Dewan 2020, Kangar. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berangkat ke majlis itu. Tuanku Syed Sirajuddin bertitah umat Islam mesti dibimbing untuk membezakan amalan agama berakar umbi daripada ajaran sahih dengan amalan dipengaruhi adat atau andaian tanpa asas jelas dalam Islam. “Islam mempunyai panduan jelas, tersusun dan sahih bukan atas amalan warisan yang kekurangan kefahaman betul. “Perkara yang tidak diasaskan panduan sahih, walaupun kelihatan baik pada zahirnya, namun mungkin boleh menimbulkan kekeliruan, jika tidak diteliti dengan ilmu dan kebijaksanaan. “Walaupun tradisi budaya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian, namun ia mesti kekal dalam batasan ditetapkan al-Quran dan sunah, terutamanya dalam perkara yang tidak dinyatakan secara spesifik hukum syarak.” Baginda bertitah konvensyen bertemakan “Sunah: Sumber Ilmu” yang mendapat penyertaan menggalakkan dari dalam dan luar negara mencerminkan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan mengukuhkan kefahaman sunah dalam masyarakat kontemporari. Tuanku turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur dan penceramah, serta menyifatkan majlis itu bukan sekadar acara akademik, sebaliknya platform pertukaran ilmu, pandangan dan kepakaran antara cendekiawan serta tokoh dakwah. Titah baginda, menghidupkan semula sunah dalam pembentukan peribadi dan pembinaan tamadun menjadi keperluan mendesak bagi memastikan kewujudan masyarakat bermaruah serta negara makmur.