UK benarkan AS guna pangkalan serang tapak Iran sasar Selat Hormuz
2026-03-21 - 03:30
UK membenarkan AS guna pangkalannya bagi melumpuhkan tapak serta keupayaan peluru berpandu digunakan Iran untuk menyerang kapal di Selat Hormuz. (Gambar EPA Images) LONDON: United Kingdom (UK) meluluskan peluasan akses Amerika Syarikat (AS) ke pangkalan British bagi operasi menyasarkan keupayaan peluru berpandu Iran yang mengancam perkapalan di Selat Hormuz, menurut Downing Street. Anadolu Ajansi memetik kenyataan kerajaan menyebut menteri Kabinet dalam mesyuarat pada Jumaat mengesahkan perjanjian untuk AS menggunakan pangkalan UK dalam pertahanan diri kolektif rantau itu merangkumi operasi pertahanan AS bagi melumpuhkan tapak serta keupayaan peluru berpandu digunakan untuk menyerang kapal di Selat Hormuz. Kerajaan menegaskan “prinsip di sebalik pendekatan UK terhadap konflik kekal sama” serta menggesa “pengurangan ketegangan segera serta penyelesaian pantas konflik” peperangan itu. Menteri Kabinet mengutuk tindakan Iran memperluaskan sasarannya untuk merangkumi perkapalan antarabangsa. Mereka bersetuju serangan melulu Iran, termasuk ke atas kapal Red Ensign (kapal berdaftar UK) serta kapal milik sekutu rapat dan rakan Teluk, berisiko mengheret rantau itu ke dalam krisis lebih serius, selain memburukkan impak ekonomi yang dirasai di UK serta seluruh dunia. Menerusi hantaran di X, pemimpin pembangkang Konservatif, Kemi Badenoch menyifatkan keputusan itu pusingan U paling besar. Sejak serangan intensiti tinggi AS-Israel bermula 28 Feb lalu, UK beralih daripada pendirian awal menolak akses pangkalan kepada tahap kerjasama logistik dan operasi ketenteraan lebih menyeluruh. “Walaupun mengambil tindakan perlu untuk mempertahankan diri dan sekutu, kami tidak akan terheret ke dalam perang lebih meluas,” kata Perdana Menteri, Keir Starmer pada Isnin lalu sambil menambah kerajaan UK akan terus berusaha menamatkan peperangan. Bagaimanapun, peranan Britain semakin luas dalam konflik itu mencetuskan perdebatan sama ada perbezaan itu semakin sukar dipertahankan. Permusuhan serantau di Asia Barat memuncak sejak Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lalu yang mengorbankan kira-kira 1,300 orang setakat ini, termasuk pemimpin tertinggi Iran ketika itu, Ali Khamenei. Iran membalas dengan melancarkan dron dan peluru berpandu di seluruh rantau itu serta menutup Selat Hormuz secara berkesan kepada kebanyakan kapal, iaitu laluan transit minyak utama yang biasanya mengendalikan kira-kira 20 juta tong sehari dan kira-kira 20% daripada perdagangan gas asli cecair global.