UAE, Bahrain, Qatar kesan serangan peluru berpandu
2026-02-28 - 13:44
Asap daripada peluru berpandu yang dipintas di ruang udara Doha, Qatar pada Sabtu. (Gambar EPA Images) KUALA LUMPUR: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengesahkan ia menjadi sasaran serangan peluru berpandu balistik pada Sabtu, manakala Bahrain melaporkan serangan ke atas beberapa lokasi dalam sempadannya ketika kedua-dua negara mengaktifkan langkah tindak balas kecemasan susulan ketegangan serantau memuncak. Dalam kenyataan dikeluarkan Agensi Berita Emirates, Kementerian Pertahanan UAE (MoD) memaklumkan negara itu menjadi sasaran serangan terang-terangan membabitkan peluru berpandu balistik Iran. Katanya, sistem pertahanan udara UAE berjaya memintas beberapa peluru berpandu itu dengan kecekapan tinggi. Pihak berkuasa turut menguruskan kesan serpihan peluru berpandu di kawasan perumahan yang menyebabkan kerosakan harta benda. MoD mengesahkan seorang warganegara Asia maut akibat terkena serpihan jatuh. Menurutnya, keselamatan di UAE kekal stabil dengan semua agensi berkaitan memantau perkembangan sepanjang masa. Ia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu dan menegaskan penolakan mutlak UAE terhadap sasaran ke atas objek awam, kemudahan serta institusi nasional. Tegasnya, tindakan sedemikian merupakan peningkatan berbahaya dan perbuatan pengecut yang mengancam keselamatan orang awam serta menjejaskan kestabilan. MoD berkata, serangan itu merupakan “pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa” sambil menegaskan UAE “mempunyai hak penuh untuk bertindak balas terhadap peningkatan ini dan mengambil semua langkah perlu bagi melindungi wilayah, rakyat serta penduduknya dan mempertahankan kedaulatan, keselamatan serta kestabilannya”. Katanya, kesiapsiagaan penuh untuk menangani sebarang ancaman dan semua langkah perlu sedang diambil bagi mengekang cubaan menggugat keselamatan dan kestabilan negara, sambil menekankan keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat kekal keutamaan tidak boleh dikompromi. Ia menggesa orang ramai merujuk sumber rasmi dan tidak menyebarkan khabar angin atau laporan tidak disahkan. Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri UAE memaklumkan pihaknya memantau rapat perkembangan serantau dan berada pada tahap berjaga-jaga tinggi serta menyelaras dengan pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil langkah berjaga-jaga mengikut keperluan. Tegasnya, keselamatan rakyat, penduduk dan pelawat kekal keutamaannya, selain komitmen mengekalkan keselamatan awam dan kestabilan, serta mengesahkan orang ramai akan dimaklumkan sebarang perkembangan dan langkah diperlukan tepat pada masanya. Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Am (GCAA) pula mengumumkan penutupan sementara dan sebahagian ruang udara UAE sebagai langkah berjaga-jaga luar biasa bagi memastikan keselamatan penerbangan dan anak kapal susulan perkembangan keselamatan yang meningkat dengan pantas di rantau itu. Katanya, keputusan itu susulan penilaian menyeluruh ke atas risiko keselamatan dan operasi serta penyelarasan pihak berkuasa nasional dan antarabangsa berkaitan. Tegasnya, keselamatan ruang udara dan kedaulatan udara UAE kekal keutamaan mutlak. GCAA berkata, pihaknya akan terus memaklumkan pihak berkuasa dan orang ramai sebarang perkembangan serta menasihatkan penumpang menghubungi syarikat penerbangan bagi mendapatkan kemas kini jadual penerbangan. Katanya, syarikat penerbangan akan menyediakan penginapan dan bantuan diperlukan kepada penumpang terjejas. Di Manama, Agensi Berita Bahrain (BNA) melaporkan Pusat Komunikasi Nasional mengumumkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah pusat perkhidmatan berkaitan Armada Kelima AS. Orang ramai digesa mematuhi arahan pihak berkuasa rasmi berkaitan dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sahaja, menurut BNA. Di Doha, Kementerian Pertahanan Qatar dalam kenyataan mengesahkan pihaknya berjaya memintas gelombang kedua serangan menyasarkan beberapa kawasan di negara itu. Agensi Berita Qatar memetik kementerian itu mengesahkan ancaman berkenaan ditangani sebaik dikesan mengikut pelan keselamatan ditetapkan dan semua peluru berpandu dipintas sebelum memasuki wilayah negara itu. Tegasnya, Angkatan Bersenjata Qatar berkemampuan sepenuhnya mempertahankan keselamatan negara dan bertindak balas tegas terhadap sebarang ancaman luar, sambil menambah situasi keselamatan kekal stabil serta terkawal. Ia memberi jaminan kepada rakyat, penduduk dan pelawat serta menggesa semua pihak bertenang, mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan, mengelakkan khabar angin dan hanya merujuk kenyataan serta maklumat rasmi.