TheMalaysiaTime

Trump umum ‘operasi tempur besar-besaran’ di Iran

2026-02-28 - 09:23

Presiden AS Donald Trump sebelum ini berulang kali ancam ambil tindakan ketenteraan sekiranya penyelesaian menerusi rundingan berhubung isu nuklear gagal dicapai. (Gambar EPA Images) TEHRAN: Tentera AS telah memulakan ‘operasi tempur besar-besaran di Iran’, menurut Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, sekali gus mengesahkan penyertaan negara itu dalam serangan yang dilancarkan oleh Israel, lapor Agensi Berita Jerman (dpa). “Objektif kami adalah untuk mempertahankan rakyat Amerika dengan menghapuskan ancaman yang hampir berlaku daripada rejim Iran,” kata Trump dalam mesej video yang disiarkan di platform Truth Social pada Sabtu pagi. Perkembangan ini susulan tindakan AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran yang tercetus di negara itu. Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan sekiranya penyelesaian menerusi rundingan berhubung isu nuklear gagal dicapai. Pusingan terbaru rundingan tidak langsung di Geneva antara wakil Iran dan AS berakhir pada Khamis tanpa sebarang kemajuan. “Mereka tidak boleh sesekali memiliki senjata nuklear,” kata Trump ketika mengumumkan permulaan tindakan ketenteraan itu, hanya beberapa saat selepas Israel menyatakan bahawa ia telah melancarkan serangan awal terhadap Iran.

Share this post: