TPM jamin bekalan tenaga Malaysia kekal stabil
2026-03-22 - 07:20
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara jiran mendorong aktiviti penyeludupan yang merugikan negara serta menjejaskan bekalan domestik. KUCHING: Kerajaan memberi jaminan bekalan tenaga negara kekal stabil meskipun berdepan ketidaktentuan global susulan konflik di Asia Barat, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof. Menurutnya, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) telah merangka pelan alternatif bagi memastikan kesinambungan bekalan minyak dan gas, jika laluan utama seperti Selat Hormuz terjejas. “Setakat ini, bekalan tenaga negara masih pada tahap stabil hasil perancangan awal dan kepelbagaian sumber bekalan. “Kerajaan terus menanggung subsidi bahan api yang besar bagi memastikan harga kekal stabil dan tidak membebankan rakyat, walaupun berdepan kenaikan harga pasaran global,” katanya pada Majlis Ramah Mesra anjuran Penghulu dan Ketua Masyarakat Parlimen Petra Jaya di sini. Menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, perbezaan harga bahan api antara Malaysia dan negara jiran mendorong aktiviti penyeludupan yang merugikan negara serta menjejaskan bekalan domestik. Oleh itu, katanya, pemantauan rapi terus dipertingkatkan bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi dan semua pihak terbabit dalam industri mematuhi peraturan. Dalam perkembangan lain, beliau berkata, negara kini berdepan keadaan cuaca tidak menentu susulan peralihan monsun timur laut ke monsun barat daya yang menyebabkan keadaan lebih panas dan kering serta berpotensi menyebabkan kemarau. “Kerajaan melalui kementerian berkaitan memantau rapi bekalan air bersama syarikat pembekal air di setiap negeri bagi memastikan bekalan kekal mencukupi. “Setakat ini, keadaan bekalan air masih terkawal, namun langkah pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.” Jika berlaku kekurangan bekalan, jelasnya, langkah segera termasuk penghantaran air menggunakan lori tangki serta pemantauan kolam takungan akan dilaksanakan bagi memastikan bekalan sampai kepada pengguna.