Tokoh kewangan Islam Daud Bakar didakwa subahat niaga sekuriti tanpa lesen
2026-02-23 - 05:23
Daud Bakar sebelum ini berkhidmat sebagai pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Tokoh kewangan Islam Daud Bakar mengaku tak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat berniaga dalam sekuriti tanpa lesen sah, tiga tahun lalu. Daud, 62, yang juga bekas pengerusi Majlis Penasihat Shariah, Bank Negara Malaysia mengaku tak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail. Mengikut tuduhan, Daud selaku wakil syarikat aktiviti jual beli komoditi, Energy Eco Berhad, bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT, apabila AUF MBZ menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti. Ia sedangkan AUF MBZ bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan juga bukan seorang orang berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga dalam sekuriti, di mana kesalahan AUF MBZ Consortium PLT dilakukan akibat persubahatan Energy Eco. Kesalahan itu didakwa dilakukan di antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023, di C6-1, Jalan Reef 1⁄22, Pusat Perniagaan Reef di Rawang. Beliau didakwa mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan jika sabit kesalahan, beliau berdepan denda sehingga RM10 juta, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Mahkamah membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin. Beliau turut diperintahkan menyerahkan pasport dan melapor diri kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebulan sekali sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 10 April untuk pengurusan kes. Peguam Haziq Razali mewakili Daud manakala Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Shoba Venu Gobal, hadir bagi pihak pendakwaan. BERITA LANJUT MENYUSUL