TheMalaysiaTime

TM tegaskan penamatan perjanjian 5G sah walau dipertikai DNB

2026-03-03 - 07:04

Minggu lalu, Telekom Malaysia Bhd mengumumkan ia akan menamatkan perjanjiannya dengan DNB dan mendapatkan sambungan 5G melalui U Mobile. (Gambar Telekom Malaysia) PETALING JAYA: Telekom Malaysia Bhd (TM) menegaskan penamatan perjanjian 5G dengan Digital Nasional Bhd (DNB) sah, walaupun DNB mempertikaikan keputusan syarikat itu menamatkan perjanjian akses. TM berkata, ia melaksanakan hak kontraktualnya di bawah perjanjian itu dengan mematuhi sepenuhnya syarat khusus berhubung penamatan awal perjanjian membabitkan model dwi rangkaian 5G. “Keputusan ini dibuat selepas analisis menyeluruh terhadap semua hak dan obligasi perundangan sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian akses tersebut. TM menegaskan notis penamatannya adalah sah dan mengekalkan segala haknya. “Perjanjian akses itu turut memperuntukkan mekanisme bagi menyelesaikan sebarang perbezaan tafsiran antara pihak-pihak terbabit dan TM akan mengambil langkah sewajarnya selaras peruntukan perjanjian tersebut,” katanya dalam kenyataan. Ia berkata, keutamaannya untuk memastikan perkhidmatannya tidak terganggu ketika beralih kepada rangkaian 5G U Mobile Sdn Bhd. Minggu lalu, TM mengumumkan ia akan menamatkan perjanjian 5G dengan DNB pada 30 Okt 2022 dan mendapatkan sambungan 5G melalui U Mobile. Mengikut perjanjian akses, katanya, TM boleh membatalkan kontrak dalam tempoh 30 hari selepas perkhidmatan 5G dilancarkan secara komersial oleh pengendali berbeza. Tetapi, DNB menolak notis TM dengan menegaskan kontrak sehingga Oktober 2032 itu kekal “sah, mengikat dan boleh dikuatkuasakan”. DNB mendakwa TM tidak melaksanakan hak penamatan awal dengan mematuhi syarat dinyatakan dalam perjanjian. Penamatan perjanjian DNB tertakluk kepada persetujuan kawal selia daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia. U Mobile dipilih untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara pada November 2024. Putrajaya bersetuju membenarkan rangkaian 5G kedua selepas saham dalam DNB dijual kepada Maxis, CelcomDigi, U Mobile dan YTL Communications. Kerajaan melalui Menteri Kewangan Diperbadankan kini memegang 41.67% kepentingan dalam DNB susulan pengunduran U Mobile Mei lalu. Baki tiga syarikat telekomunikasi – CelcomDigi, Maxis dan YTL – masing-masing memiliki 19.44%.

Share this post: