TKM P Pinang, MAINPP ancam saman Chegubard, pemimpin PAS negeri
2026-03-13 - 05:34
Mohamad Abdul Hamid berkata surat tuntutan telah diserahkan kepada Badrul Hisham Shaharin dan tiga pemimpin PAS negeri. GEORGE TOWN: Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid bersama Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengancam menyaman aktivis Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, serta beberapa pemimpin PAS negeri kerana fitnah. Menurut Mohamad dan MAINPP, tindakan itu susulan dakwaan oleh Chegubard dan tiga pemimpin PAS negeri bahawa majlis itu didakwa menyalahgunakan dana dan kuasa. Peguam Habib Rahman Seeni Mohideen, yang mewakili Mohamad dan MAINPP, berkata surat tuntutan telah diserahkan kepada Badrul, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Fawwaz Jan, Timbalan Ketua Pemuda Hafiz Alias, dan Adun Penaga Yusni Mat Piah. Mohamad dan MAINPP menuntut supaya keempat-empat individu itu memohon maaf dan menghentikan penyebaran dakwaan tersebut. Mereka juga dikehendaki memberi jaminan agar tidak menerbitkan atau mengulangi komen-komen berkenaan. “Kami telah memberi tempoh tujuh hari bermula hari ini untuk mematuhi, jika gagal, kami akan memulakan prosiding mahkamah,” kata Habib Rahman pada sidang media Sementara itu, Mohamad, yang juga yang dipertua MAINPP, menafikan tuduhan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa dengn menyifatkan dakwaan itu berniat jahat. Beliau berkata tindakan undang-undang akan diambil bagi mempertahankan nama baik dan integriti majlis. Awal bulan ini, Mohamad dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di George Town untuk membantu siasatan terhadap dakwaan penyalahgunaan dana zakat. Selain beliau, beberapa individu lain turut dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk ahli Majlis Agama Islam negeri, ahli Lembaga Zakat negeri, serta pegawai dan kakitangan di pusat zakat negeri.