TKM P Pinang digesa letak jawatan berkait isu salah guna dana zakat
2026-02-02 - 05:06
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Mohamad Abdul Hamid digesa letak jawatan. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: PAS Pulau Pinang mendesak Timbalan Ketua Menteri (TKM) I Mohamad Abdul Hamid meletak jawatan susulan pendedahan aktiviti salah guna dana zakat membabitkan institusi agama Islam bawah seliaannya di negeri itu baru-baru ini. Ketua Penerangan, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan, berkata tindakan berundur perlu bagi memulihkan keyakinan rakyat serta memberi laluan kepada siasatan telus tanpa pengaruh kuasa. “Institusi agama Islam tidak boleh dijadikan alat kepentingan peribadi atau politik. Amanah umat Islam wajib dipelihara, dan sesiapa yang gagal menunaikannya dengan adil dan jujur tidak lagi layak memimpin,” katanya dalam kenyataan. Beliau berkata, isu dibangkitkan bukan sekadar masalah pentadbiran remeh tetapi melibatkan amanah umat Islam dan pengurusan dana zakat serta wakaf bernilai jutaan ringgit. “Amalan pelantikan individu tertentu berdasarkan hubungan kepentingan serta kegagalan memastikan tadbir urus yang adil mencerminkan kepimpinan yang tidak beramanah. “Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, malah menimbulkan keresahan dalam kalangan umat Islam yang mengharapkan institusi agama diurus secara profesional, bebas dan bertanggungjawab,” katanya. Jumaat lalu, Berita Harian melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung salah guna kuasa membabitkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat. Menurut sumber, kertas siasatan dibuka susulan pendedahan dilakukan seorang Adun dalam persidangan DUN hujung tahun lalu. Pengarah SPRM Pulau Pinang, Karunanithy Y Subbiah, semalam, turut mengesahkan akan memanggil beberapa individu berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan. Sebelum ini, aktivis Badrul Hisham Shaharin, lebih dikenali sebagai Chegubard berkongsi kenyataan penyelaras NGO Pembela Tanah Air (Peta), Azam Melaka, berkaitan dakwaan penyelewengan wang zakat di sebuah negeri. Bagaimanapun, ia kemudian dinafikan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Rosidi Hussain, sambil menegaskan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang cuba menyebarkan fitnah berkaitan.