TheMalaysiaTime

Tiong bidas Sim ‘gila kuasa’

2026-02-02 - 09:46

Presiden PDP Tiong King Sing (kiri) beri amaran keras kepada Presiden SUPP Dr Sim Kui Hian agar henti ‘bermain api’. PETALING JAYA: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing membidas rakan sejawatnya dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian, berhubung pelantikan pemimpin masyarakat dan tuai rumah di Sibu. Tiong menuduh Sim, yang juga naib pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersamanya, sebagai gila kuasa dan melampaui batas politik apabila didakwa campur tangan dalam pelantikan tersebut. Beliau berkata, pelantikan awal telah pun dimuktamadkan secara konsensus oleh jawatankuasa pemilihan, namun dibatalkan atau dipinda oleh Sim. Tiong berkata, beliau sebagai Adun Dudong, dan Adun Bawang Assan iaitu Naib Presiden Kanan PDP Wong Soon Koh, tidak dirujuk mengenai pelantikan baharu itu. “Saya sekali lagi gesa SUPP untuk nyatakan pendirian secara jelas: Adakah anda sudah putuskan untuk pinggirkan ‘kononnya sekutu’ anda ini atau mahu paksa kami keluar? “Jika itu keputusannya, nyatakanlah secara terbuka. Jika kami tidak dialu-alukan di sini, ada tempat lain, tetapi kami takkan terima garis merah kami diuji dan dilanggar berulang kali. “Tidakkah mereka sedar, tindakan sedemikian hanya akan dorong komuniti rumah panjang benci dan tolak GPS? Adakah ini benar-benar hasil yang anda mahukan? “Saya beri amaran keras ini: Sudah-sudahlah bermain api. Politik bukan suatu permainan, dan institusi bukan alat untuk diuji sesuka hati. Jika anda berkeras untuk teruskan, saya takkan mengalah,” katanya dalam hantaran Facebook. Tiong turut berkata, langkah ini bercanggah dengan semangat perpaduan dan kepimpinan bersama yang sekian lama diamalkan oleh GPS, dan membiarkan sahaja perkara ini menetapkan satu duluan yang merosakkan bagi gabungan itu. Ketegangan antara dua parti GPS itu semakin memuncak, terutamanya selepas tiga Adun Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang telah dibubarkan menyertai PDP, membawa bersama tiga kerusi tradisi SUPP. PSB, yang dipimpin oleh Wong sehingga pembubarannya, ialah parti serpihan SUPP.

Share this post: