Tiong arah bincang segera dengan MoF kenaikan harga diesel
2026-03-21 - 05:10
Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia memberi amaran pengendali pengangkutan pelancongan mungkin terpaksa gulung tikar jika Putrajaya tidak campur tangan dalam pemberian subsidi diesel. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing mengarahkan kementeriannya berbincang dengan Kementerian Kewangan (MoF) berhubung kesan kenaikan harga diesel dihadapi penyedia pengangkutan dalam sektor pelancongan. Beliau berkata, kementeriannya sedang memantau kenaikan harga serta kesannya ke atas sektor pengangkutan pelancongan, dan mengakui ia menyebabkan lonjakan kos operasi bagi pengendali yang sangat bergantung kepada diesel. Menurutnya, keadaan itu boleh membawa kesan domino kepada jumlah ketibaan pelancong, perniagaan dan kestabilan ekosistem pelancongan Malaysia. “Saya telah menerima maklum balas daripada persatuan dan pihak berkepentingan berkaitan dan mengarahkan kementerian saya memulakan rundingan segera dengan Kementerian Kewangan. “Perbincangan ini akan fokus situasi semasa dan mempertimbangkan langkah sementara untuk mengurangkan tekanan jangka pendek, sebahagiannya disebabkan perkembangan di Timur Tengah,” katanya dalam catatan Facebook. Jelasnya, kerajaan mahu menstabilkan dan menaik taraf sektor itu yang merupakan tonggak utama industri pelancongan. Beliau berkata, objektifnya bukan sahaja membantu pengendali mengatasi situasi semasa, tetapi membina sektor pengangkutan pelancongan lebih berdaya saing dan tahan lama. “Saya menggesa pemain industri terus berhubung dengan kerajaan dan mengambil bahagian dalam dialog yang rasional dan membina semasa kita bekerjasama dalam menangani isu ini. “Saya berharap semua pihak kekal tenang dan bertindak secara berhemat, tanpa beremosi. Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk mengimbangi pelbagai kepentingan terlibat dan mencari penyelesaian munasabah.” Harga diesel di Malaysia Barat meningkat sebanyak RM1.60 dalam tempoh dua minggu lalu akibat perang di Timur Tengah. Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia memberi amaran pengendali pengangkutan pelancongan mungkin terpaksa gulung tikar jika Putrajaya tidak campur tangan dalam pemberian subsidi diesel, manakala Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia berkata kenaikan harga boleh menjejaskan Tahun Melawat Malaysia 2026. Di Langkawi, perkhidmatan feri ke pulau itu akan dikurangkan kepada tiga perjalanan sehari selepas Aidilfitri susulan kenaikan harga diesel.