TheMalaysiaTime

Tindakan mahkamah Sarawak boleh perkukuh federalisme, kata pemimpin Bersatu

2026-02-25 - 10:03

Pemimpin Bersatu Sarawak Alexander Frusis berkata, petisyen difailkan di Mahkamah Persekutuan adalah untuk memastikan struktur persekutuan Malaysia lebih seimbang, adil dan selaras dengan peruntukan perlembagaan. PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu Sarawak hari ini mempertahankan keputusan kerajaan negeri mencabar kebolehgunaan undang-undang persekutuan berkaitan petroleum di negeri itu di Mahkamah Persekutuan. Ketua Penerangan Bersatu Sarawak Alexander Frusis berkata, petisyen tersebut sebahagian proses memperkukuh struktur persekutuan Malaysia bagi memastikan ia lebih seimbang, adil dan selaras dengan peruntukan perlembagaan. Katanya, sebarang keputusan Mahkamah Persekutuan kelak akan membawa implikasi besar, bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi juga terhadap landskap keseluruhan pengurusan sumber tenaga negara. “Oleh itu, penting supaya proses ini dihormati sepenuhnya dan tidak dipolitikkan,” katanya, lapor The Borneo Post. Isnin lepas, kerajaan Sarawak memfailkan petisyen untuk mencabar tiga undang-undang persekutuan, selain menyatakan hasrat membantah usaha Petronas memohon kejelasan undang-undang berhubung perundangan yang mengawal operasinya di negeri tersebut. Tiga undang-undang berkenaan terdiri daripada Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966. Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, undang-undang persekutuan tersebut memberi kesan kepada sempadan Sarawak, yang telah ditetapkan sebelum pembentukan Malaysia, serta hak negeri itu ke atas sumber petroleum luar pesisir dalam lingkungan sempadan berkenaan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud kemudiannya menyatakan, kerajaan persekutuan menghormati keputusan kerajaan Sarawak untuk memfailkan petisyen itu, dan Putrajaya akan membiarkan mahkamah membuat keputusan mengenai perkara tersebut. Alexander berkata, kejelasan undang-undang yang lebih baik akan membantu mengukuhkan keyakinan pelabur dalam sektor minyak dan gas, serta memastikan hasil sumber asli diuruskan dengan lebih telus dan berdaya saing. “Ketidaktentuan yang berpanjangan hanya akan menimbulkan kekaburan undang-undang, pentadbiran dan pelaburan, yang mana ia seterusnya boleh menjejaskan ekonomi negeri dan negara,” katanya. Beliau juga berkata, usaha memperjelas kedudukan undang-undang ini bukan bertujuan melemahkan kerajaan persekutuan atau mana-mana institusi negara.

Share this post: