Timbalan KM P Pinang hadir pejabat SPRM bantu siasatan isu dana zakat
2026-03-02 - 03:43
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid sebelum ini berkata eliau bersedia dipanggil SPRM untuk membantu siasatan dan akan beri kerjasama penuh. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamad Abdul Hamid, tiba di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di George Town bagi membantu siasatan agensi itu berhubung dakwaan salah guna dana zakat. Sebuah Proton X70 yang membawa ketua PKR Pulau Pinang itu memasuki pekarangan pejabat SPRM negeri kira-kira 9.48 pagi tadi, sebelum beliau dilihat memasuki bangunan berkenaan, lapor Sinar Harian. Mohamad, yang juga pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIP), dipercayai memberi keterangan berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan dana zakat disalah guna oleh seorang pegawai kanan kerajaan negeri bagi tujuan pembelian tanah. Sebelum ini, SPRM dilaporkan mengunjungi beberapa pejabat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan untuk mendapatkan dokumen. Mohamad berkata beliau bersedia dipanggil SPRM untuk membantu siasatan dan akan beri kerjasama penuh. Beliau turut memaklumkan bahawa MAIP dan badan kutipan zakatnya telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada agensi antirasuah itu. PAS juga menggesa Mohamad meletak jawatan sebagai timbalan ketua menteri, namun Adun Batu Maung itu menafikan dakwaan berkenaan dan menyifatkannya sebagai bermotif politik.