Timbalan CEO SSM mengaku tak salah terima RM50,000 daripada anak Hamzah
2026-03-12 - 04:14
Khuzairi Yahaya didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. KUALA LUMPUR: Seorang timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima wang tunai RM50,000 daripada anak bekas timbalan presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, lapan tahun lalu. Khuzairi Yahaya didakwa menerima wang itu daripada Faisal Hamzah tanpa balasan, walaupun tahu Faisal mempunyai urusan rasmi dengannya atas kapasitinya sebagai penjawat awam. Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu di ibu pejabat SSM di Jalan Stesen 5, KL Sentral pada Mei 2018. Khuzairi berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Hakim Suzana Hussin menetapkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sementara menunggu kes itu selesai. Beliau turut menetapkan pengurusan kes pada 20 April ini. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fadhly Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Aizat Fakri. Guru didakwa buat tuntutan palsu Guru Sahnan Nuddin Abdul Razak didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. Di sebuah lagi Mahkamah Sesyen, guru sekolah menengah, Sahnan Nuddin Abdul Razak mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM22,728 untuk pembekalan peralatan sukan ke sekolahnya. Dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai terbabit, jika sabit kesalahan. Sahnan turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan alternatif di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan kerana menggunakan dokumen palsu dalam bentuk invois untuk pembekalan peralatan sukan itu. Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasportnya. Peguam Jason Wee mewakili guru itu dan pengurusan kes ditetapkan pada 16 April ini.