Timbalan CEO SSM berdepan tiga lagi pertuduhan
2026-03-13 - 03:23
Khuzairi Yahaya didakwa menerima RM13,000 dalam tiga transaksi daripada seorang CEO syarikat teknologi antara Julai 2017 hingga Jun 2018. SHAH ALAM: Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap tiga pertuduhan baharu menerima wang tunai RM13,000 daripada seorang CEO syarikat teknologi lebih lapan tahun lalu. Khuzairi Yahaya, yang semalam mengaku tidak bersalah menerima RM50,000 secara tunai daripada anak kepada bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin, hari ini didakwa menerima RM13,000 dalam tiga transaksi daripada Ketua Pegawai Eksekutif Big Dataworks Sdn Bhd Sheriza Zakaria. Wang itu didakwa diterima tanpa sebarang balasan, walaupun beliau mengetahui Sheriza mempunyai urusan rasmi dengannya sebagai penjawat awam. Kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu didakwa berlaku di beberapa lokasi sekitar Kota Damansara dan Mutiara Damansara antara Julai 2017 hingga Jun 2018. Jika sabit kesalahan, Khuzairi boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya Muaz Ahmad Khairuddin untuk memindahkan tiga pertuduhan itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi tujuan perbicaraan, selepas pihak pendakwaan memaklumkan Khuzairi telah didakwa di mahkamah berkenaan semalam. Khuzairi diwakili peguam Azamuddin Abdul Aziz.