Tiada unsur jenayah kes wanita maut kesan tikaman di dada
2026-03-22 - 06:40
Ketua Polis Pulau Pinang Azizee Ismail berkata mayat wanita itu dituntut suaminya semalam. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Polis mengklasifikasikan kes seorang wanita maut akibat kesan tikaman pada dada di Taman Desa Murni, Sungai Dua, Jumaat lalu mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah ditemui dalam kematiannya. Ketua Polis Pulau Pinang, Azizee Ismail, berkata punca kematian wanita 52 tahun itu akibat luka tikaman daripada senjata tajam. “Siasatan dijalankan di bawah klasifikasi SDR dan mayat dituntut suaminya semalam,” katanya menurut Harian Metro. Mangsa yang dikenal pasti sebagai Koay Feu Chuen, ditemui terbaring berlumuran darah dalam bilik tidur tingkat atas rumah teresnya kira-kira 9.30 pagi Jumaat lalu. Suami mangsa memeriksa bilik tidur yang dikatakan berkunci dari dalam dan menjumpai mangsa tidak sedarkan diri selepas mendapati isterinya tidak turun menyediakan sarapan seperti biasa. Difahamkan, mangsa sedang menjalani rawatan psikiatri. Individu bergelut dengan masalah boleh mendapatkan bantuan sukarelawan terlatih di Befrienders. Semua perbualan adalah sulit. Befrienders Kuala Lumpur boleh dihubungi di talian 03-7627 2929 pada bila-bila masa atau melalui emel di sam@befrienders.org.my.