TheMalaysiaTime

Tiada undang-undang halang siasatan walaupun Shamsul didakwa

2026-03-11 - 11:34

Shamsul Iskandar Akin didakwa bersetuju menerima suapan daripada Albert Tei sebagai dorongan untuk bantu syarikat milik ahli perniagaan itu mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Tiada sebarang undang-undang menghalang siasatan walaupun Shamsul Iskandar Akin didakwa tahun lepas, mahkamah diberitahu. Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan memaklumkan demikian kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas peguam kepada bekas setiausaha politik kanan kepada perdana menteri itu membangkitkan isu berkenaan, semasa sebutan kes. Terdahulu, peguam Shamsul, Amer Hamzah, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya ingin mendapatkan kepastian sama ada siasatan terhadap anak guamnya telah lengkap atau masih berjalan. “Sekiranya siasatan masih berjalan, tidak adil untuk pertuduhan diteruskan terhadap anak guam kami,” kata Amer di hadapan Hakim Suzana Hussin. Farah bagaimanapun membalas pihaknya tidak melihat terdapat sebarang undang-undang yang menghalang perkara itu dilakukan walaupun tertuduh telahpun didakwa di mahkamah. “Tiada isu ketidakadilan timbul,” katanya lapor Bernama. Sementara itu, Amer memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi pada 4 Feb, dengan pendengaran ditetapkan pada 9 April. Farah bagaimanapun berkata pihak pendakwaan akan membantah permohonan untuk memindahkan kes itu. Pihak pendakwaan juga telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, katanya. “Bagaimanapun, terdapat beberapa dokumen yang masih memerlukan pemerhatian, dan pihak kami memohon masa untuk menyerahkan baki dokumen tersebut,” katanya. Mahkamah menetapkan 8 Mei depan untuk sebutan semula kes. Pada 4 Dis 2025, Shamsul, 51, didakwa di Mahkamah Sesyen KL atas pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM100,000 daripada Albert Tei Jiann Cheing, 37, sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun perkara tersebut tiada kaitan dengan hal ehwal prinsipal tertuduh. Shamsul turut didakwa menerima suapan wang tunai RM40,000 daripada Tei bagi tujuan sama, serta dua lagi pertuduhan menerima suapan berbentuk kelengkapan perabot selain barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 daripada ahli perniagaan itu bagi tujuan serupa. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Nov 2023 hingga 5 Mac 2024. Pada 5 Dis tahun lepas, Shamsul Iskandar turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu pertuduhan secara rasuah memperoleh suapan berjumlah RM62,924 daripada Tei di sebuah bank di Country Heights, Kajang antara 28 Nov 2023 hingga 23 Sept 2024. Mengikut pertuduhan, wang itu dimasukkan ke akaun bank seorang wanita bagi tujuan pembayaran sewa sebuah rumah di Kuala Lumpur sebagai dorongan untuk membantu syarikat milik Tei yang berkepentingan mendapat kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah. Shamsul didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam dipindahkan ke Mahkamah Sesyen KL untuk dibicarakan bersama.

Share this post: