Tiada saringan diagnostik budak 6 tahun masuk Tahun 1
2026-01-27 - 04:29
Anwar Ibrahim berkata saringan diagnostik boleh bersifat diskriminasi dan mungkin memberi kesan psikologi kepada kanak-kanak yang didapati tidak layak memasuki Tahun 1 pada usia enam tahun. (Gambar Bernama) KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan ujian saringan diagnostik tidak akan dilaksanakan ke atas kanak-kanak berusia enam tahun bagi menentukan kelayakan mereka memasuki Tahun 1. Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian semula Kementerian Pendidikan (KPM). “Kami berpendapat ia boleh bersifat diskriminasi jika ada kanak-kanak didapati tidak layak dan ini mungkin memberi kesan psikologi kepada mereka. “Oleh itu, diputuskan penilaian tersebut tidak akan dilaksanakan dan saya bersetuju dengan keputusan itu,” katanya pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat. Anwar menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) berhubung keperluan menilai semula ujian saringan diagnostik kerana kanak-kanak gagal ujian itu akan tertangguh setahun memasuki Tahun 1. Syed Saddiq turut menekankan Unesco memberi amaran tidak melaksanakan ujian saringan memisahkan kanak-kanak lambat belajar daripada rakan sebaya cepat belajar pada usia muda. Laporan itu turut menyatakan lebih 130 negara mendaftarkan kanak-kanak berusia enam tahun ke Tahun 1. BERITA LANJUT MENYUSUL