Tiada rakyat Malaysia terjejas, Wisma Putra pantau rapi situasi Mexico
2026-02-24 - 11:13
Menurut Wisma Putra, Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan di Mexico dengan teliti serta jalankan koordinasi rapat dengan kedutaan. PETALING JAYA: Kementerian Luar (Wisma Putra) memaklumkan tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas dengan situasi keselamatan yang tidak menentu di Mexico. Menurut Wisma Putra, Kedutaan Malaysia di Mexico City telah mengeluarkan nasihat menggesa rakyat Malaysia yang menetap atau melancong ke Mexico supaya terus berwaspada, berhati-hati dan sentiasa berjaga-jaga pada setiap masa, terutamanya di kawasan di mana operasi keselamatan dijalankan. “Rakyat Malaysia juga dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. “Keutamaan kementerian ialah keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara,” menurut kementerian dalam kenyataan, lapor Bernama. Dilaporkan bahawa situasi hangat tercetus di beberapa negeri di seluruh Mexico berikutan operasi keselamatan baru-baru ini oleh pihak berkuasa tempatan. Wisma Putra memaklumkan, Kementerian Luar akan terus memantau perkembangan dengan teliti dan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan berkaitan untuk mendapatkan kemas kini tepat pada masanya, selain koordinasi rapat dengan kedutaan. Rakyat Malaysia di Mexico yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi kedutaan melalui telefon atau WhatsApp di +6016-8100579 atau (52-155) 20808355, atau melalui e-mel di mwmexico@kln.gov.my.